Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

ULASAN | Saya merasa pilu apabila perdana menteri Israel, Benjamin Netanyahu berjaya mengucapkan terima kasih kegembiraannya apabila kedutaan Amerika Syarikat berjaya dipindahkan secara rasminya dari Tel Aviv ke Baitul maqdis kelmarin.

Di saat umat Islam Palestin diratah dan dizalimi saban hari, Israel membuka lembaran baru.

Amerika yang mendakwa mereka sebagai juara keadilan dunia telah menodai keputusan sejagatberkaitan kedudukan Baitulmuqaddis yang sepatutnya bebas dari sebarang anasir politik Israel.

Saya berasa sangat pelik apabila Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) diam seribu bahasa dan gagal memainkan peranannya dalam menyekat dan menghalang perpindahan dan pembukaan kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmuqaddis ini.

OIC dengan keahlian dan kekuatan ekonomi, ketenteraan dan politik ahli-ahlinya sewajarnya telah bertindak sama ada memberi amaran, membuat sekatan ekonomi mahupun memutuskan hubungan diplomatik ke atas Amerika dan sekutunya.

Kegagalan OIC bertindak dalam kepentingan umat Islam terutamanya dalam membela nasib umat Islam Palestin dan kepentingan umat Islam sekalian dalam isu Baitulmuqaddis benar-benar memalukan badan antarabangsa itu.

Kegagalan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam menangani isu juga sangat-sangat dikesali.

Pelbagai keputusan dan perbincangan dalam isu Palestin yang diutarakan dan dihadamkan sebelum ini breserta pendirian tertentu bawah panji PBB musnah diliwat begitu sahaja oleh Amerika dan Israel.

Saya kagum atas tindakan Kesatuan Eropah (EU) yang memboikot upacara perasmian kedutaan Amerika Syarikat di Baitulmuqaddis.

Wakil misi EU di Israel menulis tweet Jumaat lalu, blok itu akan “menghormati persetujuan antarabangsa berkaitan Baitulmuqaddis termasuk lokasi wakil diplomatik mereka sehingga status akhir Baitulmuqaddis diselesaikan”.

Setidak-tidaknya mereka menzahirkan tindakan mereka.

Walaupun kedutaan ini hanya menumpang di pejabat konsulat mereka sementara mendapat lokasi tetap bagi pembinaan pejabat kedutaan yang sebenar, pembukaan secara rasmi kedutaan Amerika Syarikat ini dilihat sebagai usaha sungguh-sungguh Amerika untuk mencari populariti bagi presidennya Donald Trump di kalangan Yahudi Zionis Amerika dan antarabangsa bagi menutup kelemahan pengurusan ekonominya.

Bagi saya apabila Amerika berjaya membuka kedutaannya, diikuti Guatamala dan Paraguay yang akan mengekori Amerika memindahkan kedutaannya nanti merupa satu orde baru Zionis terhadap umat Islam.

Oleh itu sempena hari Nakbah, penaklukan Israel ke-70 tahun terhadap bumi Palestin pada Jumaat ini, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia khasnya dan umat Islam amnya bagi turun dan menyatakan sokongan terhadap perjuangan umat Islam Palestin dan membantah tindakan Amerika yang melacurkan negara mereka untuk Isreal kerana kelemahan dan kegagalan presiden mereka sendiri dalam mengurus tadbir negaranya.

Nyatakan juga pendirian kita dalam terus menentang pendudukan Israel di bumi Palestin.

Ayuh bangun rakyat Malaysia khasnya dan umat Islam amnya kita menentang pengisytiharan ini dan Trump perlu menarik semula pengisytiharan tersebut dan mendesak Israel keluar dari bumi Palestin.

Salam Nakbah.


DATUK MAHFUZ OMAR ialah naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) merangkap anggota parlimen Pokok Sena.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS