Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar: Saya tak kalut nak ganti Mahathir
Diterbitkan:  May 16, 2018 3:29 PM
Dikemaskini: 11:28 AM

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak tergesa-gesa untuk menjadi perdana menteri.

Beliau juga menyatakan sokongannya terhadap kepimpinan sedia ada pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Sebagai rakyat yang prihatin, saya akan berikan sokongan penuh (pada mereka) untuk menguruskan negara ini atas kesefahaman bahawa kami komited kepada agenda reformasi,” katanya.

Anwar berkata, ia termasuk reformasi dalam sistem kehakiman, media dan jentera-jentera kerajaan negeri.

Ditanya tentang tempoh masa untuk beliau menggantikan Mahathir, Anwar menjawab beliau perlu berbincang terlebih dahulu dengan pengerusi Pakatan Harapan.

“Saya tidak fikir saya harus dilihat tergesa-gesa atau menuntut tempoh masa segera,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Segambut, Kuala Lumpur.

Anwar dibebaskan hari ini setelah mendapat pengampunan penuh diraja.

[Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama memetik Anwar sebagai berkata beliau tidak akan segera kembali ke arena politik.

Beliau, ebaliknya akan memberi sokongan penuh kepada kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bakal Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar, yang baru sahaja dibebaskan setelah mendapat pengampunan diraja awal hari ini, berkata beliau akan menghabiskan masa bersama-sama keluarganya, di samping memberi syarahan di beberapa universiti luar negara.

Bercakap pada sidang akhbar pertamanya di kediaman beliau di Segambut di Kuala Lumpur, hari ini, Anwar berkata beliau telah menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Dr Mahathir bagi membolehkan perdana menteri yang baru dipilih itu melaksanakan agenda dan pembaharuan yang diperlukan dengan berkesan.

“Saya tidak fiikir saya mahu dilihat begitu tergesa-gesa untuk menuntut atau menetapkan sebarang tempoh masa terdekat dan saya telah maklumkan kepada beliau (Dr Mahathir) bahawa saya mendapat undangan daripada universiti terkemuka di seluruh dunia untuk menyampaikan siri syarahan, namun saya tidak akan menetap di sana selama beberapa tahun, jadi, usahlah berasa bimbang.

“Tapi, yang pasti, ia akan memakan masa beberapa minggu atau bulan...dari Harvard, Stamford dan universiti lain kerana saya rasa, saya perlu beri sedikit sebanyak sumbangan… untuk menunjukkan bahawa suara keilmuan dan kesederhanaan dalam Islam adalah penting dan orang Islam boleh diharapkan untuk memastikan wujudnya kebebasan serta keadilan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan memainkan sebarang peranan dalam menentukan anggota Kabinet Dr Mahathir, Anwar berkata sebagai perdana menteri, Dr Mahathir mempunyai hak mutlak untuk membentuk Kabinet, tetapi beliau diberi jaminan bahawa perdana menteri akan berunding dengan para pemimpin semua parti komponen Pakatan Harapan sebelum membuat keputusan tentang komposisinya.

Ditanya sama ada beliau bersedia menerima sebarang jawatan sekiranya ditawarkan, Anwar berkata: “Saya telah maklumkan kepada Tun Mahathir bahawa adalah lebih baik bagi beliau, Wan Azizah dan pasukan berkenaan untuk meneruskan tugas mereka dan berilah saya peluang untuk menghabiskan masa bersama-sama keluarga, walaupun isteri saya yang akan menjadi timbalan perdana menteri.

“Saya rasa, Tun Dr Mahathir sudah tentu akan menyambut baik keputusan seperti itu kerana saya beritahu beliau, saya akan sentiasa dimaklumkan tentang semua perkembangan, sudah tentulah saya juga berminat untuk mengambil tahu tentang apa yang berlaku, tapi tak perlulah saya berkhidmat dalam Kabinet untuk sementara waktu ini,” katanya.

Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun sejak Februari 2015 kerana disabitkan kesalahan meliwat. Sebelum ini, beliau dijadual dibebaskan pada 8 Jun.

Lihat Komen
ADS