Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PULASAN l Setahun dua sebelum gelora 1998 yang menggoncang negara berlangsung. Setiap kali susuk itu datang melawat Pulau Pinang, ia bagaikan (ulang: bagaikan, sekadar metafora) satu dewa turun dari langit.

Sibuknya - bagi kami petugas media - memang lain macam. Semua yang berlaku harus diperhati, tidak boleh terlepas pandang atau terima padah berdepan kemarahan dari Kuala Lumpur.

Pergerakannya di jalan raya memang sangat pantas. Patutlah pun, sebab di depan, kiri dan kanannya ada anggota polis pengiring. Kami sesekali dapat menumpang tuah untuk mengekori tanpa bimbang disaman.

Tapi itulah, bagaikan nelayan, kadang-kadang usaha itu ada hasilnya tetapi pada waktu yang lain adalah sia-sia dan kepenatan. Sebagi orang yang dekat dengan laut Tuan Guru Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tentu faham benar hidup sebagai nelayang ini.

Susuk yang saya maksudkan itu memang sentiasa diraikan. Di mata masyarakat orang itu adalah susuk yang penuh pesona, tetapi pada pandangan kami - sesetengah kami petugas media - dia adalah satu 'masalah'.

Manakan tidak. Kedatangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Pulau Pinang adalah isyarat bahawa hidup tidak akan tenteram. Segalanya kelam-kabut, dan harus diingat ketika itu media sosial belum pun lahir.

Sisi jarang diketahui

Namun apa yang berlaku harus dirakamkan sama ada melalui berita atau gambar. Masalahnya di sekeliling Anwar ada saja anggota polis yang berkawal. Itu belum diambil kira lagi orang Umno yang menempek dan buat-buat sibuk.

Maka dengan tuntutan kerja yang begitulah khabarnya pernah ada seorang petugas media - yang kebetulan berada di laluan Anwar - dicekak pada pinggang seluarnya dan diangkat ke tepi. Ya, macam kita mengangkat sebiji tempayan kecil.

Ia adalah sisi yang jarang diketahui, atau langsung tidak dimaklumi orang orang ramai. Pedulilah sama ada mereka menjadi pengagum atau pembenci.

Beliau ialah timbalan perdana menteri, tetapi mencabarnya membuat liputan dia jauh lebih jerih berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad si perdana menteri.

Kemudian takdir yang ditentukan itu pun datanglah. Suatu pagi ketika keadaan seluruh negara tegang kerana dia khabarnya akan ditangkap, kami bersarapan bersama-sama Anwar di dapur rumahnya di Cheruk Tok Kun, Permatang Pauh.

Dia pada ketika itu ialah Anwar yang sama sekali lain.

Dia duduk di kerusi sedangkan kami ada yang berdiri, ada yang duduk di lantai. Ia lebih kepada soal jawab yang santai. Maklumlah, kami tahu bukannya banyak sangat pun apa yang dijawabnya itu boleh disiarkan dalam akhbar keesokan hari.

Malaysiakini? Tentulah belum wujud lagi.

Saya tidak ingat lagi apa jawapan Anwar ketika ditanya bagaimana sikapnya berbeza ketika itu berbanding sebelumnya, dan sebelum sebelumnya itu. Bagaimana dia melayan wartawan sebelum itu, dan sebelumnya dan sebelum sebelumnya.

Bebas dengan kuasa

Ia adalah era yang berbeza. Pada masa Anwar menjadi timbalan perdana menteri kita tahu siapa yang bercokol di dua akhbar utama negara. Dan apabila dia tersingkir dari Umno dan kerajaan, siapa pula yang mengisi tempat di media massa utama ketika itu.

Pemulauan atau laporan berpilih pun dialami Anwar. Ia sama seperti pernah 'dinikmati' Allahyarham Tun Ghafar Baba, kemudian Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin yang melalui jalur politik bercanggah dengan pemerintah.

Selepas bebas daripada penjara kali pertama, Anwar tetap pembangkang. Dia ada pengaruh, tetapi tiada kuasa sebenar. Kuasa Anwar terhad hanya kepada PKR, Pakatan Rakyat selain mengolah pendapat masyarakat melalui kehebatan sebagai orator.

Dia masih tetap terbatas. Nak menguruskan Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS pun tak berapa menjadi. Anwar mungkin seekor harimau perkasa tetapi pergerakannya masih dihadkan rantai tertentu.

Pada 16 Mei 2018 Anwar sekali lagi bebas daripada kekangan penjara. Namun kali ini dia bebas bersama pengaruh, mitos, sentimen - dan lebih penting: kuasa. Anwar bukan lagi pembangkang. Dan dia tidak memikul sebarang enigma.

Tadi pagi Anwar sudah dibersihkan daripada sebarang salah laku atau perbuatan jenayah.

Politikus tetaplah politikus. Biasanya mereka mempunyai - paling kurang - dua sisi yang berbeza dengan masing-masing satu disediakan untuk orang ramai, manakala satu lagi bagi lingkaran yang berada di sebaik tabir. Media massa itu boleh dianggap dunia di sebalik tabir itulah.

Dan media massa konvensional itu pun satu isu juga.

'Akhbar benteng kerajaan'

Pada suku ketiga 1995 saya mula menjejakkan kaki di Balai Berita sebagai sebahagian daripada wartawan kadet. Empat lima tahun sebelum itu saya sudah memulakan hidup sebagai wartawan, tapi tradisinya tetaplah tradisi. Masuk sebagai wartawan pelatih juga.

Pada hari pertama, kami dibawa bertemu pengarang-pengarang kanan sebelum melawat jabatan-jabatan yang ada. Di dalam salah sebuah bilik itu seorang pengarang menjelaskan bahawa dasar akhbar ialah "menyokong government of the day".

Maksudnya, siapa saja jadi kerajaan, akhbar akan jadi benteng pertahanan kepada kerajaan.

Saya berkata-kata dalam hati: jika itu keadaannya memang tidak akan adalah perubahan sikap media massa aliran perdana sampai bila-bila.

Ternyata saya silap. Tarikh 9 Mei 2018 adalah detik muktamad bahawa saya silap. Kerajaan boleh berubah. Pendekatan media massa yang prokerajaan juga berubah serta-merta berubah. Kumpulan yang diberikan imej pendosa sebelum 9 Mei 2018 kini menjadi sangat penting.

Maksudnya, parti yang sebelum ini suci dan harum secara automatik menjadi tengik, tidak penting dan hancing.

Ia mungkin tidak salah sangat, tetapi percayalah, lucu dan janggal ya amat.

Anwar dan Dr Mahathir tentu sudah biasa dengan liputan media yang seakan-akan memaksumkan mereka. Puluhan tahun kedua-dua tokoh itu menikmati kelebihan berkenaan.

Lainlah Mohamad Sabu serta Lim Guan Eng dan rakan-rakan mereka. Harap-harap pemimpin AMANAH dan DAP memiliki semangat yang utuh bagi supaya mereka tidak mengalami demam terkejut.

Kini Anwar kembali bebas. Bersamanya ialah Dr Mahathir. Kedua-duanya memiliki kelebihan gabungan "bebas" dan "kuasa". Seronok - tentulah saja boleh. Puluhan tahun penyokong pembangkang berjuang melawan BN, ini adalah waktu untuk meraikan kemenangan.

Memejam mata dan pasrah? Tidak. Ia adalah naif yang tidak boleh diampunkan. Manusia tetaplah manusia. Bukan makhluk namanya jika bebas daripada kelemahan.

Dan salah satu kelemahan umat Adam ini ialah kata-kata manis, pujukan dan pujian. Najib Razak dan gerombolannya tumbang baru-baru ini pun puncanya ialah kata-kata manis bersalut dusta (Ya, maafkan saya. Sesekali izinkan saya mencatat bagaikan penulis sajak romantis).

Kita wajib mengawasi dua susuk yang berpengaruh - dan berkuasa - itu. Tidak mustahil orang yang bermati-matian melawan dan mencaci mereka itulah yang akan muncul sebagai penasihat-penasihat kerajaan.

Dan alangkah kejinya jika Anwar dan Dr Mahathir serta jentera Pakatan Harapan jika mereka terpedaya dengan lakonan ahli politik serta pengampu berwajah seribu itu kerana pada akhirnya rakyatlah yang akan sekali lagi dimangsakan.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang gemar memakan pulasan kerana sebelum memakannya, buah itu perlu dipulas terlebih dulu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS