Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib dapat pembelaan dari pemimpin HARAPAN
Diterbitkan:  May 17, 2018 2:27 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Bermusuh di padang politik, namun beberapa pemimpin kerajaan tetap tidak bersetuju dengan cara pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas anggota parlimen pembangkang, Datuk Seri Najib Razak.

Malah ada antara pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) itu membantah cara polis menggeledah kediaman Najib berdasarkan pengalaman mereka sendiri sebelum ini.

Nasib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar misalnya berkata siasatan pihak berkuasa sepatutnya berlangsung mengikut konsep keadilan serta tidak mengetepikan aspek hikmah.

"Sebagai bekas mangsa serbuan pada awal pagi, saya mesti tegaskan bantahan saya terhadap penggeledahan pada mana-mana rumah pada waktu yang tidak sewajarnya.

"Lakukan pendakwaan dan siasatan dengan berhati-hati. Prinsip keadilan dan berhikmah sentiasa terpakai," ciapnya melalui Twitter sebenar tadi sambil memetik nama PDRMsia (Polis Diraja Malaysia).

Nurul Izzah yang juga anggota parlimen Permatang Pauh mengulas mengenai siasatan berterusan dijalankan polis ke atas beberapa premis, termasuk rumah Najib di Kuala Lumpur.

Pemeriksaan dan proses mengumpul maklumat itu terus dilakukan pada awal pagi. Sekeping gambar Najib yang terlentok tertidur turut menyentuh hati sesetengah orang.

Najib yang berkhidmat sebagai perdana menteri keenam gagal mengemudi BN mempertahankan mandat yang diberi rakyat untuk sekali lagi menjadi kerajaan.

Jangan lupakan keadilan

Pada PRU ke-14 minggu lalu HARAPAN berjaya memperoleh kerusi majoriti yang selesai di Dewan Rakyat sekali gus membentuk kerajaan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian mengarahkan siasatan dijalankan ke atas Najib ekoran pembabitan beliau dalam skandal 1MDB.

Berkongsi pandangan dengan Nurul Izzah ialah Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

 

 

Kata pemimpin AMANAH berkenaan siasatan memang perlu dilakukan namun jangan sehingga menyebabkan kesipuan atau berlebihan.

"Saya bersetuju sepenuhnya dengan Izzah dalam isu ini. Perlu siasatan tetapi tidak perlu memalukan atau melampaui batas.

"Selepas siasatan selesai, dakwa. Tiada sebab untuk menyiasat sehingga jam 4 pagi," katanya yang pernah ditangkap polis pada jam 2.30 pagi.

Anggota Parlimen Subang, Wong Chen, pula berkata pihak berkuasa perlu memelihara maruah Najib dan isterinya, Rosmah Mansor.

Sekurang-kurangnya kata anggota parlimen PKR itu, ia dilakukan sebagai menghormati sumbangan bapa Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein membangunkan negara.

"Kita mesti membuat pendakwaan sepenuhnya mengenai 1MDB tetapi usah memalukan mereka dalam proses berkenaan.

"Proses yang sepatutnya serta piawaian perundangan yang tinggi mesti dilaksanakan," katanya.

Wong juga mengulas mengenai gambar Najib tertidur di sofa rumahnya yang dianggap sebagai mengaibkan bekas presiden Umno berkenaan.

"Bukankah ia sekadar sekeping gambar seorang kleptokrat yang tidur-tidur ayam?

"Sebaliknya memaksa Rafizi Ramli berkaki ayam dalam pakaian penjara tiga tahun lalu kononnya atas jenayah kerana melawan ketidakadilan - itulah penghinaan," katanya.


Baca Peguam: Beg tangan dan hadiah dirampas dari rumah Najib


Justeru katanya sempena kedatangan Ramadan semua orang perlu saling memberi kemaafan.

"Kita wajar memberikan kemaafan tetapi jangan lupa untuk mempertahankan keadilan," katanya.

Bekas menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pula berkata, ada cara yang lebih manusiawi untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas Najib.

Beliau yang kini menjadi anggota Unit Komunikasi Umno selepas kalah dalam PRU lalu berkata memang Najib boleh disiasat namun kaedah yang diambil perlu mengikut kewajaran.

"Maruah, bukan penghinaan.

"Sudah tentu beliau boleh disiasat. Tak ada masalah, tapi tolong berikan sedikit penghormatan. Lagi pun dia bekas perdana menteri kita," ciapnya di Twitter.

Lihat Komen
ADS