Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN l Era pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak bermakna Malaysia kini berada di zaman baharu yang menyebabkan kesamarataan boleh dilaksanakan tanpa mengambil kira status Bumiputera sebagai rakyat majoriti dan bangsa teras

Keputusan PRU14 hanya menunjukkan proses demokrasi telah membolehkan rakyat menukar rejim pemerintah Malaysia daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (HARAPAN).

PERKASA hormati kuasa demokrasi rakyat Malaysia yang melakukan pertukaran rejim ini berdasarkan persepsi ancaman dan perkiraan politik mereka.

PERKASA juga bersyukur kerana kerajaan HARAPAN pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad terus memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Lantaran itu, tidak perlu untuk pihak tertentu menuduh PERKASA yang berjuang menegakkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, sebagai NGO rasis dan tidak relevan di era pasca PRU14.

PERKASA juga tidak memerlukan tunjuk ajar pihak ini dalam perjuangannya memelihara asas fizikal negara, idea negara, institusi negara, dan nilai-nilai teras penting negara.

Insaflah, sistem demokrasi memberikan ruang kepada organisasi berdaftar di Malaysia untuk bebas bersuara dan bergerak, asalkan tidak mencanggahi Perlembagaan Persekutuan, memansuhkan jati diri nasional, menjejaskan ketenteraman awam, menggugat kelangsungan nasional dan mengancam keselamatan nasional.

PERKASA berjuang demi negara dan rakyat jelatanya yang majmuk. Aktiviti PERKASA memfokus kepada keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, kesucian Islam, keunggulan Bahasa Melayu, perpaduan nasional, kedaulatan dan integriti negara, keselamatan sosioekonomi Bumiputera, ketelusan dan anti-rasuah, kemantapan politik negara, dan keselamatan nasional.

PERKASA juga tidak akan sekali-kali berganjak dengan pendiriannya untuk menentang kesamarataan dalam semua konteks di atas.

PERKASA tidak berkompromi dalam aspek di atas kerana perubahan status quo mengenainya menjejaskan identiti nasional dan mengancam kelangsungan serta keselamatan nasional.

PERKASA juga berpegang teguh kepada Amanat Raja-Raja Melayu untuk memelihara kewujudan Tanah Simpanan Melayu dan Rejimen Askar Melayu.

Dengan ini, PERKASA cabar pihak yang melabelkan PERKASA sebagai rasis, untuk menyatakan pendiriannya terhadap perkara berikut.

Bolehkan status Islam dalam Perlembagaan Persekutuan disamaratakan dengan lain-lain kepercayaan?

Wajarkah Bahasa Kebangsaan disamaratakan statusnya dengan lain-lainnya? Apa pendirian mengenai tuntutan sebuah pertubuhan bukan Melayu supaya kerajaan HARAPAN mewujudkan jawatan timbalan perdana menteri bagi bukan Bumiputera?

Kalau rayuan PERKASA supaya jawatan menteri kewangan tidak diberikan kepada bukan Melayu dituduh sebagai rasis, kenapa tuntutan mengenai TPM kedua untuk bukan Melayu, tidak dilabelkan rasis?

Sila juga nyatakan pendirian, perlukah Panglima Angkatan Tentara, Panglima Tentera Darat, Panglima Tentera Laut dan Panglima Tentera Udara, diberikan kepada bukan Melayu? Wajarkah Rejimen Askar Melayu dibubarkan atau dibuka kepada kaum lain?

Kalau tidak berani bertegas mengenai perkara di atas, jangan cabar dan tuduh PERKASA yang mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dalam konteks jatidiri, perpaduan, kelangsungan dan keselamatan nasional; sebagai rasis dan tidak relevan.


DATUK RUHANIE AHMAD adalah pemangku presiden PERKASA dan adalah bekas wakil rakyat Umno.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS