Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Sebagai parti pembangkang kaum India yang kononnya menerima sokongan 65 peratus kaum India di Malaysia, MIC kini berdepan pelbagai dilema.

Sebaik kalah teruk dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018, S Subramaniam dipetik sebagai berkata akan kembali menjadi doktor.

Namun, dia segera tampil menafikan berita itu. Tidak lama kemudian, Najib Razak (dan isteri) yang gagal pergi “bercuti” di Indonesia mengumumkan peletakan jawatan pengerusi BN dan parti pembangkang Melayu Umno pada 12 Mei 2018.

Apabila menyedari apa yang sedang berlaku, Subramaniam mengumumkan tidak akan bertanding dalam pemilihan MIC pada Oktober 2018.

Pada masa sama, sepertimana disuarakan oleh Sivarraajh di Facebook pada 16 Mei 2018 – dan dilaporkan di akhbar Makkal Osai pada 17 Mei 2018 – dakwaan skandal dan salah guna kuasa dalam MIC perlu disiasat sepenuhnya.

Sebagai wakil MIC-BN yang menang kerusi parlimen Cameron Highlands dalam PRU-14, tentulah C Sivarraajh tidak mahu melihat karier politiknya tumbang bersama-sama kemusnahan MIC.

Tentulah Saravanan yang turut “terselamat” dalam PRU-14 di Parlimen Tapah tidak mahu hancur bersama-sama MIC. Tambahan pula, Saravanan dilihat berpotensi mengemudi parti pembangkang kaum India ini sebaik Subramaniam berundur.

Seperti dilaporkan di Sinar Harian (15 Mei 2018), MIC memerlukan orang muda untuk menerajuinya, dan Saravanan dilihat sebagai calon paling layak.

Bagaimanapun, jika saranan Sivarraajh supaya segala bentuk dakwaan skandal dalam MIC disiasat hingga ke akar umbi, mungkinkah kedudukan Saravanan juga akan mula goyah?

Siapa layak kemudi kapal sedang tenggelam?

Dalam undian tidak rasmi yang sedang saya kendalikan di Facebook, dalam tempoh dua hari, nampaknya Sivarraajh mendapat tiga kali ganda sokongan berbanding Saravanan. Tetapi, ini bukan undian rasmi, dan tidak akan mempengaruhi keputusan para ahli dan pemimpin parti pembangkang kaum India itu dalam pemilihan parti akan datang.

Bercakap mengenai perubahan, Khairy Jamaluddin juga mengakui Umno selaku parti pembangkang Melayu perlu turut berubah; khususnya memberikan peluang kepada orang muda mengemudi parti. Malah, baru kini Khairy berani mendedahkan bahawa ahli parti sudah pun meminggirkan Umno.

Maklumlah, kalau Khairy bersuara lebih awal – sebelum PRU-14 – tentu dia sudah menjadi mangsa kemarahan Najib dan Zahid. Kini, selepas terselamat di parlimen Rembau, tentulah Khairy perlu memikirkan periuk nasi sendiri tanpa perlu menanggung beban yang ditinggalkan Najib.

Khairy cuba menyelamatkan Umno – dan periuk nasi sendiri – dengan mengusulkan kembali cadangan Onn Jaafar yang pernah ditolak dahulu: supaya Umno membuka keahlian kepada semua kaum.

Berbalik kepada MIC, selama ini, semua orang (di luar parti itu) tahu bahawa BN tidak memerlukan MIC. Sebaliknya, MIC yang memerlukan BN dan Umno untuk terus bernafas.

Sementara Subramaniam hidup dalam dunia imaginasi kononnya 65 peratus kaum India menyokong MIC, pada hakikatnya, parti itu kalah teruk dalam PRU-14, dan ramai ahli, penyokong, macai, dan pemimpin sudah mula menghilangkan diri secara senyap-senyap.

MIC tidak akan dapat hidup tanpa naungan dan perlindungan Umno. Atas sebab itulah juga orang ramai dapat perhatian dengan jelas bahawa pemimpin, ahli, penyokong, dan macai MIC akan sentiasa menyokong dan memperjuangkan apa-apa sahaja yang diputuskan oleh Umno.

Keadaan yang berlaku mungkin tidak ubah seperti kumpulan binatang (lembu, kuda, anjing, keldai dan ayam) yang memberikan sokongan tidak berbelah-bagi kepada kumpulan babi dalam novel satira politik Animal Farm (1945) karya George Orwell.

Bukti bahawa MIC tidak dapat hidup tanpa sokongan Umno-BN diakui sendiri oleh Subramian. Selepas menjadi pembangkang, presiden parti itu mengaku bahawa MIC selama ini menerima bantuan dana daripada Najib dan kerajaan pusat (baca: Umno dan BN).

Hidup tanpa sokongan Umno?

Benarkah MIC tiada dana untuk terus hidup? Mungkin itulah gambaran yang cuba diberikan para pemimpin MIC. Maklumlah, masakan mereka mahu mengeluarkan wang dari poket sendiri untuk menampung kos mengemudi parti – dan membayar upah kepada macai – bagi tempoh lima tahun lagi; sebelum mencuba nasib dalam PRU-15.

Khabarnya, MIC masih kaya. Ya, pemimpin MIC memang sudah kaya semasa parti itu dinaungi “kerajaan”. Malah, seorang ahli parti mendedahkan bahawa MIC memiliki aset sekitar RM3 bilion, selain RM17 juta yang dilabur parti dalam Maju Institute of Educational Development (MIED).

Subramaniam akan meninggalkan kapal yang sudah bocor dan sedang tenggelam. Ramai lagi pemimpin MIC – khususnya yang kalah teruk dalam PRU-14 – dikatakan mungkin akan (atau sudah) melompat keluar dari kapal.

Tinggallah orang seperti Sivarraajh dan Saravanan yang menjadi pembangkang di Dewan Rakyat (Parlimen). Mereka pasti berada dalam dilema: teruskan perjuangan? Selamatkan kapal yang karam? Memilih kapal lain yang kini menerima dana kerajaan pusat?

Tapi, setelah mengutuk dan menuduh Mahathir sebagai satu-satunya punca kemunduran kaum India di Malaysia, apakah Sivarraajh dan pemimpin lain dalam MIC akan sanggup “bertuankan” beliau?

Di sisi lain pula, perlukah skandal pemimpin, ahli, dan penyokong MIC disiasat segera, atau dibiarkan dahulu? Kalau siasatan menyeluruh dilakukan, apakah Saravanan mungkin tersangkut juga? Bagaimana nasib T Mohan yang dikatakan telah “membantu” kemenangan Sivarraajh dalam PRU-14? Apakah Sivarraajh akan sanggup menerima natijah yang mungkin menimpa jika bekas ketuanya itu disiasat?

Demikian antara topik yang menjadi perbincangan dalam kalangan pemerhati dan masyarakat umum yang sebenarnya sudah tidak lagi menaruh belas kasihan terhadap parti MIC. Sebaliknya, mereka mengikuti perkembangan MIC seperti menikmati sebuah filem Tamil di pawagam.

Persoalan lebih penting yang perlu difikirkan oleh MIC adalah usaha segera bagi menyelamatkan kapal daripada tenggelam dan karam buat selama-lamanya. Tindakan yang perlu dilakukan pemimpin muda untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kedudukan MIC yang kononnya memperjuangkan kaum India.

Sasaran sepuluh tahun

Bagi anak-anak muda kaum India yang baharu sahaja menyertai MIC menjelang PRU-14 dengan impian, cita-cita, dan harapan menggunung, usah cepat berputus asa.

Gunakan peluang lima tahun akan datang untuk membina diri dan kedudukan dalam MIC. Jadilah pemimpin muda yang memahami nadi masyarakat. Jangan teruskan amalan-amalan buruk dalam MIC yang membawa kepada keruntuhan parti itu.

Belajarlah strategi politik Samy Vellu seperti yang dihuraikan oleh M Vivekananthan dalam buku MIC Era Samy Vellu (1996). Kuatkan pasukan dan turun padang untuk berkhidmat kepada Rakyat tanpa mengira kaum dan kedudukan.

Mungkin sahaja pemimpin muda ini tidak akan menang dalam PRU15. Sasaran mereka sepatutnya kepada PRU16. Jika sudah berjaya meraih kembali kepercayaan rakyat – bukan setakat 65 peratus kaum India – maka pemimpin muda dalam MIC mungkin berpeluang memenangi beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mungkin sahaja harapan untuk BN (Umno, MIC, MCA, dan sekutu) untuk kembali ke Putrajaya akan hanya tinggal sebagai mimpi, tetapi pemimpin muda MIC boleh menjadi pembangkang yang disokong Rakyat.

Sebagaimana wujud ramai ADUN dan anggota parlimen daripada kalangan “pembangkang” DAP dan PKR selepas PRU-12 (2008) untuk berkhidmat penuh dedikasi kepada Rakyat, kini masa untuk MIC pula menunjukkan komitmen sama tanpa merengek dan minta dimanjakan oleh “kerajaan”.

Cuba dapatkan khidmat perunding media berkaliber untuk membina semula imej pemimpin MIC. Belajar pengucapan awam dan cara menyediakan kenyataan media.

Syarat utama: Bersihkan MIC daripada segala daki yang melekat sejak zaman Samy Vellu. Buang semua pemimpin dan ahli yang tidak ada integriti dan tidak berjiwa rakyat.

Lihatlah sendiri apa yang mampu dicapai oleh MIC dalam masa sepuluh tahun akan datang.


UTHAYA SANKAR SB adalah perunding media dan penulis sepenuh masa. Beliau terlibat dalam mengendalikan program bahasa, sastera, kebajikan, seni, dan budaya bersama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak 1999.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS