Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Nurul Izzah tak dilantik jadi menteri
Diterbitkan:  May 18, 2018 6:02 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Walaupun memegang jawatan kanan dalam parti yang kini membentuk kerajaan Malaysia, Nurul Izzah Anwar tidak akan memegang sebarang jawatan kabinet, kata bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata ketua umum PKR itu langkah berkenaan diambil bagi mengelak keluarga terbabit menjadikan kerajaan baru Malaysia sekadar "urusan keluarga".

Anwar berkata demikian semasa sesi temu bual untuk program 101 East terbitan stesen TV Aljazeera dan ditayangkan pagi tadi.

Sebelum itu Anwar ditanya mengenai kedudukannya yang dirancang akan dinaikkan sebagai perdana menteri Malaysia selepas ini.

Nurul Izzah ialah anak kepada Anwar dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Dia juga terpilih sebagai anggota parlimen Permatang Pauh dalam PRU ke-14 pada minggu lalu.

Dr Wan Azizah dipilih Pakatan Harapan menjadi timbalan perdana menteri.

Menurut Anwar keputusan tidak memasukkan Nurul Izzah menjadi menteri dibuat oleh beliau dan dimaklumkan kepada partinya.

"Wan Azizah ialah presiden parti dan anak perempuan saya sudah memberitahu parti bahawa dia tidak bercadang menyertai kabinet walaupun dia adalah pemimpin paling kanan selepas timbalan presiden yang sekarang menjadi menteri besar sebuah negeri.

"Dia (Nurul Izzah) berada pada kedudukan paling kanan dalam parti tetapi enggan (diberikan jawatan kabinet), dan itu menjelaskan dengan baik hubungan (keluarga) dalam kerajaan," katanya.

Temu bual bersama Aljazeera itu diadakan sempena pembebasan Anwar dari penjara selepas sabitan mahkamah pada 2014.

Anwar dibebaskan melalui pengampunan diraja yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong.

Mengenai Dr Wan Azizah, Anwar memberitahu PKR dan Pakatan Harapan sudah diberitahu bahawa isterinya itu akan berundur apabila tiba masanya.

Waktu yang dirujuk Anwar itu ialah apabila beliau dilantik sebagai perdana menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Sebaik saya menjadi perdana menteri Wan Azizah akan meletak jawatan. Itu juga persefahaman yang diketahui (semua orang) walaupun mereka (musuh politik) terus menggunakanya (semasa) berkempen.

"Anda boleh bayangkan perdana menteri, timbalan perdana menteri adalah gandingan suami isteri? Sudah tentu ia adalah pembohongan terang-terangan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS