Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad: GST selamatkan 17,000 jawatan lantikan politik
Diterbitkan:  May 19, 2018 4:47 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Pemberhentian 17,000 jawatan lantikan politik dalam perkhidmatan awam dapat dielakkan jika kerajaan tidak memansuhkan GST, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi.

"Dikatakan lebih 17,000 orang pegawai kontrak akan ditamatkan perkhidmatan mereka. Kenapa ini berlaku? Tentu mereka yang terlibat amat sedih kerana kehilangan pekerjaan di saat umat Islam akan menyambut bulan Syawal tidak lama lagi.

"Ini ada kaitan dengan penghapusan GST. Janji Kerajaan Pakatan untuk hapuskan GST mesti ditunaikan. Apabila GST dihapuskan kerajaan akan kehilangan hasil sebanyak RM42 Bilion.

"Justeru kerajaan mesti melakukan langkah penjimatan. Maka pekerja kontrak seramai 17,000 orang itu menjadi mangsa pertamanya," dakwa Puad dalam kenyataannya hari ini.


Kerajaan HARAPAN mengesahkan untuk memansuhkan cukai GST yang sangat kontroversi dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) seperti yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Sebagai langkah peralihan, GST telah diturunkan menjadi sifar untuk mengurangkan bebanan cukai ke atas pengguna.

HARAPAN yakin dapat menampung kekurangan GST dengan menjimatkan pembaziran kerajaan BN sebelum ini dan beberapa tindakan lain.

Minggu ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan pada masa ini mempunyai lebihan pekerja kontrak, termasuk 17,000 jawatan lantikan politik, antara perbelanjaan yang dapat dijimatkan kerajaan.

"Kita dapati terlalu banyak kontrak pegawai. Pegawai kontrak ini kalau ada diberi kontrak kerana keperluan pentadbiran, tetapi ada juga yang diberi kontrak kerana politik iaitu mereka adalah political appointees.

"Dan political appointees ini akan kita akan tamatkan semuanya.

"Kita mendapati bahawa seramai 17,000 orang adalah lantikan politik, kita perlu menyusunnya bagi tujuan penjimatan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kakitangan berpendapatan rendah, termasuk pemandu, tidak akan ditamatkan tetapi akan dipindahkan mengikut kelayakan mereka.

Bagaimanapun, Puad menyifatkan penjimatan itu sebagai "kezaliman," dan berkata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Cuepacs tidak boleh berdiam diri.

Lihat Komen
ADS