Paling Popular
Terkini
story images
story images

Penyelaras Deklarasi Rakyat Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan akhirnya berjaya membuat laporan terhadap 1MDB, dengan Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI).

Bekas pemimpin Umno, yang pernah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) pada 2015 kerana mengemukakan beberapa laporan terhadap firma pelaburan negara itu di dalam dan di luar Malaysia, berkata laporan FBI berkenaan dibuat di New York pada 12 Mei.

“Semasa di ibu pejabat FBI di New York; saya turut menulis surat pada presiden Amerika Syarikat (Donald Trump) untuk memaklumkan beliau mengenai salahlaku (oleh bekas perdana menteri) Najib Razak yang telah menyelewengkan dana kerajaan mahupun duit rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairuddin juga telah membuat dua laporan lain - dengan pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern pada 7 April dan satu lagi pada 26 Februari, dengan polis Australia berhubung tindakan ANZ Bank yang didakwa membenarkan pengubahan wang haram dalam akaun Najib, berhubung dengan wang RM2.6 bilion yang terdapat dalam akaun peribadinya di Ambank.

ANZ memegang kepentingan dalam Ambank.

“Pengkhianatan Najib dan konco-konconya dalam penyelewengan dana syarikat 1MDB sejumlah hampir RM40 bilion hilang dari akaun syarikat tersebut tidak boleh dimaafkan sama sekali! Mereka telah mengkhianati bangsa serta negara.

“Kini, saya turut bersyukur kerana akhirnya selepas empat tahun; pihak Polis di-Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM mula bertindak ke atas laporan-laporan yang telah saya buat pada tahun 2014.

“Walaupun terlalu lambat PDRM dan SPRM bertindak; namun di bawah kerajaan baru Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya pihak penguatkuasa undang-undang di Malaysia tidak mampu untuk buat penutupan lagi ke atas kes skandal kewangan yang terbesar di dunia pada dekad ini,” katanya.

Khairuddin, pada 9 Mei lalu, bertanding di bawah tiket AMANAH untuk kerusi Parlimen Jasin di Melaka, tetapi kalah.

Beliau juga mahu pihak berkuasa Malaysia menyiasat bekas ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali atas dakwaan “melindungi” Najib.

Khairuddin pernah membuat melaporkan 1MDB di Singapura, Hong Kong, Perancis, Switzerland, United Kingdom sebelum ditangkap mengikut Sosma selama dua bulan kerana didakwa cuba mensabotaj institusi kewangan negara.

Awal bulan ini, beliau memfailkan saman RM8 juta berhubung tangkapan ke atas dirinya itu.

Lihat Komen
ADS