Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PKR persoal soalan politik dalam ujian biasisiswa JPA
Diterbitkan:  May 21, 2018 6:01 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan mengapa soalan berbaur politik ditanya dalam ujian pemilihan penerima biasiswa jabatan itu.

Dalam satu kenyataan, Anggota Parlimen Setiawangsa itu berkata beliau menerima aduan daripada pelajar yang mendakwa mereka perlu menjawab soalan berkenaan ketika pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Nik Nazmi para pelajar dikehendaki memberikan penilaian pada setiap soalan atau pernyataan yang diberikan dengan nilai antara 1 (sangat tidak bersetuju) hingga 7 (sangat bersetuju).

Beberapa soalan tersebut berbunyi:

- Saya sokong apa yang dilakukan oleh kerajaan saya.

- Saya sokong apa-apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri.

- Saya percaya bahawa saya tidak patut bersifat anti-kerajaan dengan menyokong pihak pembangkang.

- Pihak pembangkang mampu menggugat kedudukan negara.

Sehubungan itu Nik Nazmi menggesa pihak JPA menghentikan serta-merta soalan-soalan berbaur politik di dalam ujian pemilihan mereka.

"Pemilihan penerima biasiswa tidak patut dikaitkan dengan sokongan parti politik atau kerajaan.

"Saya juga berharap Menteri Pendidikan yang baru Dr Maszlee Malik akan memberi perhatian kepada perkara ini," katanya.

Sementara itu ketika dihubungi Malaysiakini, ketua Unit Komunikasi Korporat JPA, Jaafar Jantan berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan perkara itu pada masa ini.

"Bagaimanapun, kami akan menyemak dengan Jabatan Pembangunan Modal Insan, sama ada soalan itu wujud.

"Kami akan semak, dan jika ada, kami akan menyerahkan perkara ini kepada jabatan yang diberi kuasa," kata Jaafar.

 

Lihat Komen
ADS