Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PERMATA diteruskan, tetapi perlu diaudit - TPM
Diterbitkan:  May 22, 2018 11:31 AM
Dikemaskini: 7:33 AM

Program Permata Negara (PERMATA) akan diteruskan oleh kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang engakui bahawa ia adalah program yang baik dalam membantu meningkatkan pembangunan dan juga kebajikan kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, Wan Azizah yang juga menteri wanita dan pembangunan keluarga berkata program yang diilhamkan oleh Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak itu perlu dikaji dan diaudit terlebih dahulu dalam segenap aspek.

Ini, katanya, termasuk melibatkan peruntukan, keberkesanan kos dan hasil program.

“PERMATA merupakan salah satu program yang saya bawa kepada perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kita akan audit kerana ia program yang baik dan dekat dengan kesejahteraan kanak-kanak.

“Ini kita teruskan untuk kanak-kanak tingkatkan kemahiran mereka kerana matlamatnya adalah suci murni.

“Apa yang baik, kita sebagai kerajaan Pakatan Harapan, seperti perdana menteri katakan, akan teruskan. Tetapi bagaimana?

"Kita perlu mengaudit dan mengkaji termasuk melibatkan peruntukan, keberkesanan kos dan hasil program,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di bangunan Perdana Putra, di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata tiada tempoh ditetapkan untuk mengkaji dan mengaudit program PERMATA itu.

Selain itu, menurutnya, beliau dan Dr Mahathir setuju program PERMATA adalah lebih relevan untuk diletakkan di kementerian itu berbanding di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Program PERMATA mula dilaksanakan pada 2007 dan merangkumi Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan, Perkasa Remaja dan Permata Kurnia.

Ia memberi tumpuan terhadap usaha mendidik kanak-kanak pada peringkat awal bagi mengembangkan potensi dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani, sosial dan komunikasi.

Wan Azizah hari ini memulakan tugas sebagai timbalan perdana menteri. Beliau tiba di pejabat TPM di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada jam 10 pagi dan disambut warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Sebaik tiba, beliau turut mengimbas kad merakam waktu.

Selepas itu, beliau turut menandatangani surat memulakan tugas dan kemudiannya menghadiri taklimat khas yang diberikan Ali.

Wan Azizah, 66, dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekali gus menjadi timbalan perdana menteri wanita pertama Malaysia.

 

Lihat Komen
ADS