Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan rakyat di negeri itu supaya bersabar dengan pentadbiran kerajaan baru di Johor.
Ia ekoran terdapat 'rungutan' daripada akar umbi HARAPAN yang tidak berpuas hati dengan pelantikan Datuk Osman Sapian sebagai menteri besar yang baru.
"Saya cuma nak minta supaya mereka bersabar kerana ini pentadbiran baru negeri. Menteri besar pun baru, mesti ada sikap dia yang salah tetapi kita tidak boleh buat konklusi awal sehingga kita bagi dia (Osman) peluang dan masa. Bersabarlah.
"Rakyat harus nilai tindakan yang dijanjikan, bukan kenyataan," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Osman sebelum ini menerima kritikan keras selepas mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Johor tidak akan memberi peruntukan kepada pembangkang, sama seperti dilakukan kerajaan BN pada masa lalu.
Susulan itu, Muhyiddin meminta menteri besar itu memperbetulkan kenyataannya dan menyatakan peruntukan akan tetap disalurkan menerusi pejabat-pejabat daerah.
Baca: Ikut teladan BN, k'jaan Johor tak beri peruntukan pada pembangkang
Selain itu, Muhyiddin yang juga presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sekali lagi menegaskan tiada lantikan melibatkan anggota Umno dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Sebaliknya, jelasnya pemilihan ketua setiausaha sulit menteri besar Johor atas lantikan ketua setiausaha kerajaan negeri.
"Tak betul (lantik orang Umno). Saya dah dapat taklimat dan setakat yang dimaklumkan, dia (ketua setiausaha sulit) adalah pegawai tadbir, bukan orang politik.
"Elok teliti dulu (sebelum tuduh). Dia pegawai tadbir negeri dan ada hak untuk dilantik sebagai ketua setiausaha di pejabat menteri besar," katanya lagi.
Sebelum ini timbul dakwaan bahawa Osman melantik anggota Umno menjadi ketua setiausaha sulitnya.
Ekoran itu, Osman kemudian memberi penjelasan bahawa pelantikan Fizwan Rashidi dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara.
Pelantikan bekas Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi itu dibuat selepas Osman berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.
