Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan pernah bertemu dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berhubung desakan menolak Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri kerana dikaitkan skandal 1MDB pada 2015.

Pemangku Pengerusi Umno itu turut berkata dakwaan Shukri itu juga di luar pengetahuannya.

“Itu di luar pengetahuan saya, tidak ada,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno di PWTC, hari ini.

Zahid berkata demikian ketika ditanya dakwaan Shukri dan bekas ketua SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah berjumpa dengan beberapa menteri kabinet sebelum ini bagi meyakinkan mereka untuk mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Shukri berkata langkah itu susulan hasil siasatan SPRM pada 2015 berhubung isu dana RM2.6 bilion dan RM42 juta yang dipercayai dipindahkan daripada SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadi Najib, yang ketika itu adalah perdana menteri.

Shukri turut berkata hanya tiga menteri ketika itu yang berani bersuara mengenainya iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Shukri berkata bagaimanapun, usaha beliau dan Abu Kassim gagal apabila hanya tiga menteri tersebut sahaja yang berani mengambil tindakan manakala menteri lain tidak berani melakukannya.

Shukri mendakwa kerajaan BN yang dipimpin Najib tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini, ramai menteri-menteri yang ditemuinya pada 2015 telah menghubunginya dan menyatakan kekesalan mereka kerana tidak mengambil tindakan terhadap Najib.

Najib hari ini dipanggil memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Zahid ketika diminta mengulas perkara itu, berkata pihaknya menghormati prosedur itu namun penguatkuasaan perlu mengikut masa yang sesuai

“Saya fikir itu prosedur SPRM dan kita hormati tatacara dilakukan asalkan dibuat pada waktu yang bersesuaian.

“Kami rasa tatacara itu harus dihormati semua pihak. Yang kami tak begitu berkenan apabila waktu-waktu tak sesuai tindakan dilakukan oleh agensi penguatkuasaan,” katanya.

Lihat Komen
ADS