Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Kerajaan Persekutuan tidak memiliki kereta nasional Proton Holdings dan tidak berhasrat membelinya semula, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, syarikat itu - yang dimulakan semasa pentadbirannya pada tahun 1984 - kini dimiliki oleh hartawan Tan Sri Syed Mokhtar al Bukhary.

Bagaimanapun, Proton mengalami kerugian sejak beberapa tahun ini dan membawa kepada penjualan 49.9 peratus pegangan dalam syarikat itu oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd dari China dengan harga RM460.3 juta pada Jun tahun lalu.

Mahathir berkata pentadbirannya tidak berhasrat mengambil alih syarikat itu.

“Proton adalah milik Syed Mokhtar. Kalau nak beli balik, itu terpulang kepada dia,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Putrajaya, hari ini.

Syed Mokhtar memegang 55.92 pegangan tidak langsung dalam DRB-Hicom Bhd menerusi syarikat persendiriannya, Etika Strategi Sdn Bhd, yang mana beliau memiliki 90 peratus kepentingan ekuiti.

Apabila ditanya mengenai bagaimana perjalanan mesyuarat kabinet pertamanya, Mahathir berkata semua orang diberi peluang untuk bercakap.

"Saya mahu membuktikan kepada mereka (menteri) bahawa saya bukan seorang diktator," katanya secara berseloroh sambil tersenyum.

 

Lihat Komen
ADS