Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tak semua jam tangan Rolex dirampas SPRM tulen'
Diterbitkan:  May 24, 2018 2:18 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

Berdepan dengan pelbagai spekulasi anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa sebahagian daripada jam tangan mewah yang dirampas pihak berkuasa di rumahnya bukan barangan tulen.

Katanya, walaupun jam jenama Rolex itu kelihatan asli, ia adalah barangan tiruan dalam gred AAA.

Menurut Abdul Azeez memang ada antara jam tangan yang dirampas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu yang asli.

Namun katanya sebahagian yang lain adalah baranan tiruan.

"Saya tak boleh tunjukkan sijil jam tangan itu kerana kebanyakannya adalah palsu.

"Saya membelinya kerana ia kelihatan cantik dan berkongsinya dengan anak lelaki saya," katanya seperti dipetik portal berita mStar Online hari ini.

Abdul Azeez menjadi perhatian ramai apabila pegawai SPRM menyerbu sekurang-kurangnya tiga premis yang ada kaitan dengan beliau beberapa hari lalu.

Serbuan berkenaan dibuat selepas SPRM mendapat bos baru yang dilantik kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sudah bekerja puluhan tahun

Selain jam tangan, sejumlah wang turut dirampas daripada Abdul Azeez.

Dipetik Utusan Online anggota parlimen Baling itu mendakwa semua wang tunai yang dirampas SPRM di kediaman dan pejabatnya adalah milik Umno bahagian yang diketuainya.

Kata Abdul Azeez beliau baru mengeluarkan wang berjumlah RM600,000 dari akaun bank untuk pembayaran zakat dan mengadakan pelbagai program sempena Ramadan.

"Itu semua duit Umno bahagian Baling, ada rekod saya ambil wang tersebut dari bank.

"Saya tidak menyorokkan apa-apa dan bersedia memberi kerjasama penuh kepada SPRM untuk melakukan siasatan," katanya.

Bernama pula semalam melaporkan sebahagian daripada wang tunai RM500,000 yang dirampas SPRM sepatutnya akan digunakan untuk misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin.

Abdul Azeez juga mengesahkan kunjungan SPRM ke kediamannya di Baling, Kedah dan Subang, Selangor serta ke pejabatnya di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

"Wang berkenaan adalah untuk perbelanjaan ke Gaza, Palestin yang dirancang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas.

"Wang yang dirampas di Baling pula adalah milik Umno Bahagian Baling dan ia sepatutnya diberikan kepada rakyat sempena bulan puasa dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi," katanya yang pernah menjadi pengerusi Tabung Haji.

Menurut Abdul Azeez selepas "bekerja" selama lebih 30 tahun sudah tentu dia mampu membeli jam tangan tulen namun sebahagian yang lain adalah palsu.

Lihat Komen
ADS