Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerja melombong pasir di Sungai Kota Belud dihentikan
Diterbitkan:  May 24, 2018 4:00 PM
Dikemaskini: 8:04 AM

Oleh kerana tidak mematuhi peraturan ditetapkan, kerajaan negeri Sabah menggantung sebuah syarikat yang diberi kontrak bernilai RM18.8 juta bagi melombong pasir di beberapa sungai yang mudah mengakibatkan banjir di Kota Belud apabila alirannya terhalang oleh puing daripada Gunung Kinabalu susulan kejadian gempa bumi pada 2015.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri Junz Wong berkata Syarikat Warisan Teguh Bistari Sdn Bhd, yang mendapat kontrak tiga tahun bermula 27 Feb tahun ini, diberi surat penggantungan pada 18 Mei.

“Syarikat itu antara lain gagal mengemukakan bon prestasi dalam bentuk jaminan bank, tidak mengemukakan polisi insurans, tidak mengemukakan surat pelantikan juruperunding dan gagal melantik subkontraktor bagi kawasan kritikal.

“Memandangkan keadaan yang mendesak di Kota Belud, langkah terbaik adalah memecat kontraktor sekarang (Warisan Teguh Bistari), tertakluk kepada nasihat Peguam Besar Sabah, dan cari mekanisme baharu untuk mengurangkan kejadian banjir di Kota Belud,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Wong, kementerian yang beliau terajui, melalui Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, sedang mencari mekanisme baharu dan mengenal pasti kawasan kritikal yang memerlukan kerja melombong pasir dilakukan.

Beliau juga berkata siasatan menyeluruh akan dilakukan berikutan laporan yang diterima bahawa kerja melombong pasir secara tidak bertanggungjawab menyebabkan beberapa bukit pasir terbentuk di tepi dua batang sungai di Kota Belud sepanjang 30 km.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS