Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Institut memandu perlu senarai caj untuk elak 'lesen terbang'
Diterbitkan:  May 24, 2018 4:24 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Semua Institut Memandu (IM) diarahkan untuk menyenaraikan caj ujian memandu dalam resit bagi mengelak berlakunya caj tersembunyi, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata langkah yang berkuat kuasa serta-merta itu adalah bagi mengelakkan institut memandu menawarkan ‘pakej sampai lulus’ sehingga RM2,200 dalam ujian memandu.

“Pelajar tidak boleh mengambil pakej yang melebihi kadar yang ditetapkan JPJ… kita tidak mahu timbul kos-kos tersirat yang akan mendorong kepada pengambilan ‘lesen kopi-O’ dan ‘lesen terbang’,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan pengurusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Putrajaya hari ini.

Menurut Loke, kadar bayaran untuk ujian lesen motosikal tidak melebihi 250 cc, B2 ialah RM350, kereta transmisi manual, D (RM1,150) dan kereta transmisi automatik, DA (RM1,250).

"Pengguna berhak untuk mengetahui apa yang telah mereka bayar. IM boleh mengutip bayaran tambahan seperti perkhidmatan ulang alik dari rumah ke IM tetapi ia hanya pilihan dan perkhidmatan itu perlu dipaparkan dalam resit. IM tidak boleh memaksa pelajar mengambil pakej yang ditetapkan,” katanya.

“Bagi mereka yang melanggar peraturan ini, saya tidak akan teragak-agak membatalkan lesen IM, yang perlu diperbaharui setiap tahun,” katanya, serta menyarankan pelajar menolak dan membuat laporan sekiranya ada pihak yang mengenakan kos yang lebih tinggi.

Sementara itu, Loke berkata projek perintis ujian litar automasi atau ujian tanpa penguji akan dilaksanakan sebelum penghujung tahun ini.

“Dengan ini, semua akan dibuat secara berkomputer di mana tiada penguji yang akan duduk di litar ujian sebaliknya mereka memantau melalui video di bilik kawalan,” katanya sambil menambah bahawa ujian litar automasi kini berada dalam kajian terakhir.

Bagi ujian di atas jalan raya, Loke berkata IM akan diarahkan untuk untuk memasang kamera di papan pemuka bagi mengelak kejadian penguji sengaja menggagalkan pelajar.

“Tidak dapat dinafikan bahawa berlaku penguji sengaja menggagalkan pelajar yang enggan membayar sogokan. Kita akan mewajibkan IM bagi memasang kamera di papan pemuka. Sekiranya pelajar sengaja digagalkan, mereka boleh membuat aduan dan rayuan berdasarkan rakaman,” katanya.

Loke berkata pemasangan kamera berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat dan JPJ akan memberi arahan dan garis panduan berhubung perkara itu.

Beliau berkata kos pemasangan kamera harus ditanggung IM kerana ia dipasang pada kereta mereka selain itu kos pembelian kamera juga tidak mahal.

“Ia harus menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan sistem berintegriti untuk memastikan proses pengambilan lesen memandu di negara ini telus dan berintegriti. Semua pihak perlu memberi komitmen dan ia tidak harus bergantung kepada kerajaan sahaja,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS