Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjawat awam jalan tugas, jangan berpolitik - Cuepacs
Diterbitkan:  May 24, 2018 4:45 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Di sebalik beberapa keputusan dalam perkhidmatan awam di bawah kerajaan Pakatan Harapan, penjawat awam diseru komited meneruskan peranan mereka dan tidak berpolitik, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presidennya Datuk Azih Muda berkata penjawat awam perlu melihat semula ikrar perkhidmatan awam iaitu menumpahkan taat setia kepada kerajaan yang memerintah dan rakyat negara ini.

"Pencapaian prestasi penjawat awam pada ketika ini berada pada tahap yang lebih baik, teruskan tugas untuk berkhidmat kepada negara dan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Azih juga mengingatkan penjawat awam supaya tidak turut berpolitik tetapi memberi tumpuan kepada barisan kerajaan yang baharu dibentuk.

Katanya walaupun beberapa perubahan telah diumum oleh kerajaan, adalah menjadi kepentingan untuk penjawat awam terus menjalankan tugas hakiki seperti biasa.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan 17,000 penjawat awam berstatus kontrak ditamatkan perkhidmatan kerana merupakan pelantikan politik daripada pentadbiran kerajaan terdahulu.

Manakala empat badan dan agensi iaitu Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Majlis Profesor Negara (MPN), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) dibubarkan.

Dalam pada itu, Azih berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung penjawat awam berstatus kontrak ditamatkan perkhidmatan.

Beliau juga sekali lagi meminta agar kerajaan baharu mempertimbangkan pemberian Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) kepada seluruh 1.6 juta penjawat awam di negara ini.

Katanya, walaupun ia dijanjikan kerajaan terdahulu, tetapi ia wajar selaras dengan kenaikan kos sara hidup masa kini.

"Penjawat awam ini tiada kena-mengena dengan janji politik mana-mana kerajaan. Malah saya yakin dengan kepimpinan Dr Mahathir (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad), beliau amat memahami kedudukan penjawat awam negara maka saya harap beliau boleh mempertimbangkan kenaikan ini,”katanya.

April lepas, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan pemberian kenaikan gaji bersamaan satu KGT kepada semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai depan pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-16 membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS