Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan persekutuan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) dirayu membatalkan keputusan BN menukarkan status Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu kepada kolej vokasional yang dilihat tidak menguntungkan rakyat di Kelantan.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Alumni Pensyarah dan Pelajar IPG Kota Bharu, Yaacob Ismail, hari ini.

Katanya Kelantan hanya mempunyai satu IPG sahaja berbanding negeri lain yang mempunyai dua.

Justeru katanya pertubuhan itu kesal apabila IPG Kota Bharu dipilih sebagai antara sembilan IPG yang perlu ditukar fungsi kepada kolej vokasional sehingga menjejaskan 220 kakitangan.

"Selain sebagai pusat latihan guru sepenuh masa, IPG Kota Bharu berperanan sebagai pusat latihan peningkatan profesionalisme bagi 32,000 guru sedia ada di seluruh Kelantan, selain menjadi pusat temuduga dan ujian bakal guru.

"Penutupan institut ini menyebabkan hampir 3,000 rakyat Kelantan yang mahu menjadi guru terpaksa menduduki ujian dan temuduga di negeri luar.

"Ini akan membebankan rakyat terutama golongan miskin, sedangkan kerjaya sebagai guru itu belum tentu mereka dapat," katanya pada sidang media di Kota Bharu bersama lebih 50 alumni dan kakitangan.

Terdahulu, hasrat sama turut ditegaskan oleh Parti Amanah Negara (AMANAH) melalui ketua pemudanya Hazmi Hassan.

Kata Hazmi, luahan dan rayuan alumni IPG Kota Bharu itu sudah didengari dan tindakan susulan akan diambil.

"Saya sedang berusaha untuk bertemu dengan Menteri Pendidikan Malaysia bagi membincang isu ini.

"Saya yakin sekira isu ini dikaji semula pihak kerajaan dan menteri pendidikan setuju agar rancangan menutup institusi tersebut dibatalkan," katanya.

Sementara itu Yaacob berkata, rayuan mereka sebelum ini disuarakan beberapa kali kepada wakil rakyat dan ahli politik Kelantan namun mereka seolah-olah memekakkan telinga.

Malah katanya pihaknya mendapat sokongan daripada Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Mohamad Fa-Iz Petra yang turut mengutuskan sepucuk surat menerusi setiausaha sulitnya kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Cadangan kami kepada Kementerian Pendidikan agar dikekalkan IPG Kota Bharu seperti fungsi asal, selaras dengan usianya yang mencecah 64 tahun serta menghantar semula pelajar ke IPG Kota Bharu yang sudah dua tahun tidak menerima pelajar.

"Kami juga mencadangkan kementerian memberi keutamaan mengubah fungsi IPG di negeri yang sudah mempunyai dua IPG, bukannya di Kelantan yang hanya mempunyai satu IPG," katanya.

Sementara itu, Pengarah IPG Kota Bharu, Hashim Deraman berkata, memandangkan tiada arahan rasmi IPG Kota Bharu dikekalkan, proses penukaran institut tersebut kepada kolej vokasional setakat ini akan berjalan secara berperingkat bermula bulan ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS