Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO gesa henti aktiviti korek pasir di Lumut

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa supaya aktiviti mengorek dan mengambil pasir di muara Sungai Puyu, Pantai Pasir Panjang, Segari di Lumut dihentikan segera bagi mengelakkan kemusnahan kawasan pendaratan penyu.

Pegawai Penyelidik Lapangan SAM Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata aktiviti itu dijalankan di satu-satunya kawasan pendaratan penyu utama di Perak yang berkeluasan tujuh kilometer persegi.

Beliau berkata kawasan yang dikategorikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar Tahap 1 itu tidak boleh dibangunkan untuk sebarang kegiatan dan penukaran guna tanah kecuali kegiatan pelancongan ekonomi berimpak rendah, pendidikan dan penyelidikan.

"Bila adanya aktiviti pengambilan pasir ini kita khuatir boleh menjejaskan alam semulajadi dan seterusnya memberi kesan kepada jumlah pendaratan penyu.

Kerajaan negeri perlu prihatin tentang perlindungan alam semulajadi ini bukan hanya membangunkan pembangunan. Malah mengikut pengutip telur yang dilantik Jabatan Perikanan, telur penyu di kawasan itu telah berkurangan,” katanya kepada pemberita di Lumut, hari ini.

Meor Razak turut menggesa kawasan itu diwartakan sebagai kawasan perlindungan untuk penyu mendarat dan kawasan hutan berhampiran digazetkan sebagai Taman Negeri.

Sementara itu, Anggota Parlimen Lumut Dr Mohd Hatta Md Ramli (gambar) berkata pihaknya telah membuat lawatan ke lokasi pengambilan pasir berkenaan tiga hari lepas.

"Saya difahamkan pasir di sini dikorek bagi mencegah banjir dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah Manjung memaklumkan mereka dibenarkan untuk mengambil pasir dalam jumlah tertentu.

"Menurut penerangan mereka, aktiviti mengorek muara sungai itu sudah selesai cuma jumlah pasir yang diambil masih belum cukup dari jumlah yang ditetapkan dan akan selesai sepenuhnya dalam tempoh seminggu,” katanya.

Dr Mohd Hatta berkata perkara itu akan dipantau dan jika masih ada aktiviti pengambilan pasir di kawasan itu dijalankan selepas tempoh seminggu, pihaknya akan mengambil tindakan.

"Kita juga akan berbincang lebih lanjut lagi tentang cadangan yang dibawa oleh SAM dan kajian terperinci akan dilakukan bagi melihat sama ada pengorekan pasir itu benar-benar memberi manfaat kepada projek tebatan banjir atau tidak," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS