Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Istilah “tsunami Melayu” mula dipopularkan oleh seorang pemimpin muda DAP yang mengkaji corak pengundi selepas kemenangan tipis BN pada pilihan raya umum (PRU) 2013 serta merangka strategi Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi menghadapi PRU 2018.

Ia bermula dengan ruang vakum kepemimpinan Melayu pada 2015.

Di pihak pembangkang, rejim Najib Razak memenjarakan Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat.

PAS pula berpecah apabila golongan konservatif menguasai kepemimpinan, manakala golongan sederhana keluar parti untuk menubuhkan AMANAH.

Pakatan Rakyat tumbang. Pembangkang tiada kepemimpinan yang jelas.

Apabila AMANAH menggantikan PAS sebagai rakan gabungan baru HARAPAN, pucuk pimpinan PAS semakin rapat dengan Najib dan Umno.

Sepatutnya semua itu mengukuhkan Najib, terutamanya apabila pembangkang berada dalam kedudukan yang paling lemah. Namun, hal itu tidak berlaku.

Najib gagal menarik sokongan rakyat kepada BN kerana dasar ekonomi yang menyusahkan rakyat, serta kesan skandal 1MDB, Felda, MARA dan sebagainya.

Keadaan itulah yang digambarkan oleh Liew Chin Tong sebagai “ruang vakum kepemimpinan Melayu” - apabila tiada pemimpin untuk diikuti dalam keadaan hidup terancam dengan tekanan ekonomi yang parah.

Kekosongan kepemimpinan

Apatah lagi para pemimpin Umno dengan angkuhnya mengatakan kos sara hidup masih terkawal, dan kerajaan BN menawarkan “ubat tahan sakit” dalam bentuk BR1M.

Pada Julai 2015, Liew menyimpulkan dalam tulisannya: “Seandainya tsunami Melayu melanda lantaran suasana ekonomi yang semakin menekan, Umno bakal menguburkan dirinya di kawasan campuran dan separa urban”.

Pendapat Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan itu disambut dingin di pihak pembangkang, termasuk partinya sendiri.

Ramai menganggap sukar untuk mengubah pola pengundian Melayu yang dikatakan bergantung harapan kepada Umno sejak dulu, kini dan selamanya. Bagi mereka, tsunami Melayu tidak akan berlaku.

Saya sendiri menganggap Liew sebagai orang yang terlalu optimis. Kerana itu saya kurang yakin tentang kewujudan tsunami Melayu pada 2015. Riaknya pun tidak kelihatan.

Sementara itu, satu video berdurasi enam minit mengejutkan negara. Ia adalah rakaman tular seorang mahasiswa bernama Zahra yang menyuarakan masalah pekerjaan, gaji, pendidikan, pengangkutan, perumahan, dan hal-hal berkaitan pampasan kemalangan dan bayaran perubatan.

Bagi Liew ia adalah bukti kegagalan dasar Najib yang telah melahirkan “generasi terpelajar dengan kertas sijil tetapi hidup bagai pengemis”.

Pada 2016, bekas anggota parlimen Kluang dan Bukit Bendera itu menulis: “Rakyat Malaysia terbanyak – iaitu kelompok 99 peratus – ialah kelompok yang bakal menerima kesan langsung daripada kelemahan urus tadbir ekonomi dan pentadbiran negara pimpinan Najib.

"Pun begitu, beliau hingga kini masih terus membisu. Lebih daripada itu, beliau memainkan sentimen perkauman sempit sebagai senjata bagi mengekalkan survival kuasanya.

“PRU ke-14 bukan perlawanan untuk memilih kerajaan yang bakal diterajui Umno atau DAP, jauh sekali perlawanan antara Melayu dan Cina, tetapi perlawanan sebenar ialah antara minoriti 1 peratus Najib serta kroninya, dengan 99 peratus rakyat Malaysia yang mengimpikan masa hadapan negara yang lebih cerah.”

Liew melihat detik perubahan – tanda jelas kemunculan tsunami Melayu – bermula pada 14 Julai 2017. Ia dizahirkan dalam satu sidang media yang diadakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad di ibu pejabat PKR untuk mengumumkan logo, kepimpinan dan dasar-dasar asas HARAPAN.

Bagi Liew, penalaan semula politik (political realignment) di antara Dr Mahathir dan Anwar merupakan asas yang penting.

Beliau menulis: “Tiada pemimpin Melayu selain Dr Mahathir dan Anwar yang mempunyai penyokong yang begitu setia. Kesan gabungan Anwar dan Dr Mahathir dengan mudah mengisi kekosongan kepimpinan ketika ini apabila pengundi Melayu secara umumnya membenci Najib dan isterinya Rosmah Mansor”.

Bagi melengkapkan matlamat tsunami Melayu, Liew mengemukakan idea bahawa HARAPAN perlu “menarik sekurang-kurangnya separuh daripada pengundi Melayu dan melonjakkan sokongan yang besar daripada bukan Melayu”.

Hilang gelap timbul terang

Ini adalah kerana, sepanjang 2015 hingga PRU ke-14, “Umno dan BN sangat rapuh di kawasan separa bandar di pantai barat (semenanjung), iaitu kerusi campuran dengan majoriti Melayu yang dimenangi BN dengan majoriti tipis pada PRU 2013.

"Jika Umno kalah lebih kurang 40 kerusi ini dengan pertukaran undi yang memihak kepada HARAPAN, semestinya ia akan melahirkan sebuah kerajaan baru”.

Menjelang 2018, beliau mengingatkan kita semua bahawa: “Jangan anggap penyokong tegar BN akan kekal bersama BN selamanya. Apabila tsunami terjadi, Umno tidak dapat mengenal pasti siapa daripada ahli mereka yang akan memberontak dan tidak mengundi Najib dalam PRU akan datang...”

Hasilnya sudah diketahui umum. Tsunami Melayu benar-benar berlaku. Dengan gabungan sokongan pengundi lain, gelombang kebangkitan rakyat Malaysia berjaya menumbangkan BN. Hilang gelap timbul terang. Ramalan Liew menjadi kenyataan.


Baca BN tumbang akibat strategi sendiri yang tak menjadi


Sudah tentu saya turut tumpang gembira. Inilah yang dikatakan indahnya perasaan apabila jangkaan dan pesimisme sendiri meleset. Biarlah ramalan salah, asalkan harapan tercapai.

Hanya satu sahaja yang menyedihkan - Liew sendiri gagal merampas kerusi parlimen BN di Ayer Hitam yang ditandinginya.

Sememangnya kawasan itu merupakan antara kubu BN yang terkuat di Johor, malah di Malaysia. Dan beliau tidak pula takut untuk pindah dari kerusi yang lebih selamat di Kluang ke lubuk lawan.

Namun, kekalahan tipis dengan majoriti hanya 303 undi dalam persaingan yang penuh dengan tekanan, intimidasi dan tipu daya BN yang dibantu oleh SPR tidak boleh menjadi ukuran.

Semoga petisyen pilihan raya beliau akan diterima untuk membolehkan satu pilihan raya semula diadakan dalam keadaan yang lebih bersih, adil dan telus.

Lihat Komen
ADS