Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saya tak curi data atau peras ugut, kata Justo
Diterbitkan:  May 25, 2018 11:23 AM
Dikemaskini: 3:33 AM

WAWANCARA | Bekas pegawai PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo menegaskan bahawa beliau tidak pernah mencuri sebarang data daripada bekas majikannya itu.

Malah, dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam, Justo turut memberitahu segala pengakuan yang ditandatanganinya ketika dalam tahanan di Thailand dibuat selepas mendapat tekanan.

Justo yang sebelum ini menjalani hukuman penjara tiga tahun di Thailand pada 2015 kerana didakwa memeras ugut bekas majikannya turut menceritakan bagaimana beliau mendapat data berkaitan 1MDB berkenaan.

Justo memberitahu, beliau mendapat salinan e-mel berkenaan sebagai “insurans” ketika berhenti daripada PetroSaudi pada 2011.

Pada ketika itu, PetroSaudi telah diberi sejumlah wang berjumlah AS$1 bilion daripada 1MDB - firma pelaburan yang diasaskan semasa pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak - sebagai usahasama yang dijalankan pada 28 September 2009, kata Justo.

Ekoran itu, Justo merasakan sesuatu yang tidak kena dengan usahasama berkenaan dan mahu membuktikan dengan e-mel tersebut bahawa beliau tidak terlibat dengan perkara itu - memandangkan beliau merupakan pegawai yang turut mempunyai kuasa menandatangani dokumen bagi pihak syarikat.

Selain itu, Justo turut menceritakan beliau meninggalkan syarikat berkenaan selepas berlaku salah faham dengan pengasas dan ketua pegawai eksekutif (CEO) PetroSaudi, Tarek Obaid- yang sebelum ini dianggap sebagai seorang kawan yang baik.

“Wang berada di mana-mana. Mereka membeli rumah pangsa, menyewa kapal layar, menyewa jet peribadi. Berparti.

“Saya tidak begitu gembira dengan hubungan saya bersama Tarek ketika itu. Kami sepatutnya menjadi kawan. Tetapi ada sesetengah orang, bila mereka menerima duit yang banyak, mereka menjadi gila,” katanya.

Menceritakan pula mengenai syarikat PetroSaudi, Justo berkata syarikat berkenaan tidak mempunyai sebarang urusan perniagaan yang melibatkan bilion dolar dengan mana-mana pihak kerana ia merupakan ‘syarikat palsu’ yang tidak mempunyai aktiviti atau melakukan perniagaan yang betul.

Sebelum berlakunya usahasama pada 2009 bersama 1MDB, PetroSaudi hanya mempunyai kakitangan yang terhad iaitu beberapa setiausaha di pejabatnya di Riyadh, Geneva dan London dan mereka hanya menjawab “satu atau dua panggilan telefon, seminggu” kata Justo.

Satu-satunya aktiviti yang dijalankan secara sah oleh PetroSaudi ialah satu perjanjian bersama Venezuela yang akhirnya juga tidak berjaya.

Menurut Justo, syarikat itu juga hanya mempunyai dua kapal pengorek atau drillships. Salah satunyanya- PetroSaudi Discoverer yang berusia 40 tahun- kapal pengorek yang usang dan kotor sehingga beliau enggan menggunakannya.

Satu-satunya aset yang PetroSaudi perolehi ketika itu, kata Justo, hanyalah nama syarikat itu semata-mata.

“PetroSaudi satu nama yang bagus. Bila anda dengar PetroSaudi ia seperti Petronas atau Petrobras. Bunyinya seperti sebuah syarikat negara. Tetapi itu bukan masalahnya. Tetapi ia hanya kerana nama yang mereka bawa.

“Putera Turki adalah pemegang sahamnya tetapi syarikat itu tidak pernah ada sebarang hubungan rasmi dengan keluarga Saudi, medan minyak atau firma minyak Saudi.

“Mereka mempunyai nama yang sangat bagus. Itulah aset utama mereka,” kata Justo.

Selepas meninggalkan PetroSaudi, Justo kemudian berpindah ke Koh Samui, Thailand.

Beliau kemudian berkahwin di sana dan mula hidup berkeluarga.

Beliau juga telah menjual asetnya untuk membina sebuah rumah agam mewah di Koh Samui. Ia merupakan perancangannya untuk menghabiskan tempoh persaraannya di ‘syurga’.

Bagaimanapun, Justo ketika itu masih lagi mempunyai hutang AS$2 juta dengan bekas majikannya dan cuba untuk menyelesaikannya.

Namun, selepas gagal, beliau berpaling kepada Clare Rewcastle-Brown, editor Sarawak Report serta seorang pemilik media di Malaysia.

Beliau telah memberikan kedua-dua individu berkenaan salinan sebanyak 230,000 emel.

Pada mulanya beliau meminta sejumlah wang daripada pemilik media berkenaan tetapi kemudian Justo menyerahkan maklumat itu secara percuma.
[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS