Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir hampir bawa BERSATU keluar HARAPAN
Diterbitkan:  May 25, 2018 2:20 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Pilihan raya umum (PRU) ke-14 menyaksikan Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat kejutan setelah pakatan yang diterajui pemimpin politik berusia 92 tahun itu mengalahkan rejim yang sudah memerintah selama enam dekad.

Sementara itu, terdapat pendedahan terbaru tentang bagaimana ketika HARAPAN berada di ambang perpecahan sebelum ini, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berjaya menyelamatkan pakatan itu.

Mengimbas insiden yang terjadi kira-kira setahun lalu, Liew Chin Tong berkata Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ke London sempena Aidilfitri mengirim surat kepada presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membawa keluar parti itu dari gabungan HARAPAN.

Pengerusi Biro Pendidikan Politik DAP itu berkata, perkara itu terjadi susulan perbezaan pendapat berhubung struktur kepimpinan dalam HARAPAN dan kegagalan empat komponen parti gabungan itu mencapat kata sepakat.

Liew berkata Nurul Izzah kemudian bergegas ke London bertemu Dr Mahathir dan berjaya meyakinkan beliau untuk kekal dalam HARAPAN.

"Perjumpaan antara Nurul Izzah dan Dr Mahathir di London merupakan perjumpaan bersejarah yang mengubah keseluruhan situasi.

"Selepas perbincangan kepimpinan HARAPAN selesai, keseluruhan situasi politik berubah," katanya kepada Oriental Daily News.

Bincang struktur HARAPAN

Julai tahun lalu, pakar strategi BERSATU Datuk Rais Hussin memberitahu Malaysiakini bahawa perjumpaan di London itu adalah untuk menyelesaikan isu utama yang menghalang HARAPAN mendaftar sebagai satu gabungan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut kecuali menyatakan bahawa ia berjalan lancar.

Nurul Izzah juga ketika itu enggan mengulas lanjut berhubung perjumpaan berkenaan, namun menyatakan ia adalah untuk menyelamatkan negara.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata:

"Sesiapa saja boleh berjumpa Dr Mahathir namun perbincangan perlu dilakukan dengan semangat HARAPAN dan bukannya sebagai individu. Mungkin, Nurul Izzah hanya ke sana untuk berhari raya dengan Dr Mahathir."

Selepas pulang ke tanah air, Dr Mahathir pada 7 Julai 2017 memberitahu pemberita bahawa perjumpaan berkenaan tidak membincangkan calon perdana menteri HARAPAN.

"Kita tidak membincangkan tentang jawatan itu, hanya struktur (HARAPAN).

"Masih belum ada (kata sepakat). Kita akan mengadakan perjumpaan dan akan putuskan sebelum maklumkan kepada media," katanya.

HARAPAN kemudian memaklumkan barisan kepimpinannya pada 13 Julai tahun lalu dengan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum, Dr Mahathir sebagai pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS