Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ketelusan lebih perlu berbanding statistik indah kagumkan pelabur'
Diterbitkan:  May 25, 2018 4:57 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Pendedahan situasi fiskal sebenar negara yang sebelum ini disembunyikan menyebabkan keyakinan pelabur terjejas, kata Tan Sri Rafidah Aziz.

Kata Rafidah, ia mewujudkan kesedaran tentang realiti sebenar yang dihadapi rakyat Malaysia yang mengakibatkan penurunan saham di pasaran tempatan.

"Sekian lama, kerajaan sebelum ini cuba mencantikkan statistik.

"Terdapat penyalahgunaan kuasa yang melampau akibat penyelewengan beramai-ramai.

"Dapat dilihat sistem semakin parah, dengan penyebaran ketakutan, ugutan, dan membelakangkan undang-undang," kata bekas menteri itu kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pelbagai pihak bahawa penurunan saham di Bursa Malaysia adalah kesan daripada pendedahan kerajaan pada Isnin lalu bahawa hutang negara sudah melebihi RM1 trilion.

Rafidah menegaskan bahawa meskipun objektif dulu adalah "menciptakan gambaran yang lebih indah daripada keadaan sebenar", apa yang diperlukan adalah ketelusan, tanggungjawab dan kejujuran, meskipun ia tidak memberi gambaran baik kepada spekulator jangka pendek.

Jelas Rafidah, pelabur dengan strategi jangka panjang akan menghargai keadaan ini kerana kini mereka mengetahui situasi sebenar dan diyakinkan dengan dasar yang kini digunakan pentadbiran baru.

Malah, tambahnya, penting bagi spekulator dan ahli perniagaan untuk mengambil kira bahawa kerajaan baru Pakatan Harapan (HARAPAN) tahu punca masalah sebenar dan mempunyai idea jelas untuk bergerak ke depan, menyelesaikan isu-isu yang timbul, dan mengukuhkan pentadbiran ekonomi.

Asas ekonomi kukuh

Memberi perumpamaan, Rafidah berkata "dua epal tambah dua epal tidak semestinya sama dengan empat epal, tidak kira betapa segar penampilannya, jika salah satu epal itu berulat, hanya tiga epal yang dapat dimakan".

"Asas ekonomi Malaysia kukuh, namun banyak potensi untuk lebih mengukuhkannya dan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing.

"Diharapkan, dengan rekod kerajaan secara menyeluruh sebelum ini, pelabur dan sektor swasta berasa yakin bahawa kerajaan HARAPAN yang mesra perniagaan akan terus melaksanakan dasar dan langkah bagi memastikan pentadbiran yang bertanggungjawab yang akan mengembalikan Malaysia ke landasan yang tepat untuk terus berkembang," katanya.

Kenyataan Rafidah itu dibuat ketika kerajaan di bawah teraju Tun Dr Mahathir Mohamad, terutamanya Menteri Kewanga Lim Guan Eng, dikritik kerana mendedahkan butiran hutang dan perbelanjaan negara.

Kementerian Kewangan kini sedang menyiasat syarikat dana 1MDB yang ditubuhkan ketika pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Lim hari ini berikrar akan meneruskan usahanya dan berkata adalah lebih penting untuk kerajaan menunjukkan ia komited untuk mengamalkan ketelusan dan menyanggah amalan pentadbiran kerajaan sebelum ini yang menyembunyikan perbelanjaannya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS