Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berita ringkas: Petekma cadang bangunkan aplikasi khidmat teksi
Diterbitkan:  May 26, 2018 6:07 AM
Dikemaskini: 10:42 PM

Akur dengan kemajuan teknologi, Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) bercadang membangunkan sebuah aplikasi mudah alih di telefon pintar bagi menawarkan perkhidmatan mereka.

Presidennya, Mohd Syahrir Abdul Aziz berkata, melalui aplikasi itu penumpang boleh membuat tempahan dengan mudah tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga.

“Pada pandangan saya, adalah lebih baik sekiranya pengusaha teksi sendiri yang membangunkan aplikasi ini. Biarlah pengusaha kita yang mengendalikannya sendiri. Kita tak nak ada pihak ketiga,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara,di Bernama News Channel (BNC) malam tadi

Menurutnya, cadangan itu sudah dikemukakan kepada kerajaan menerusi pertemuan bersama Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), baru-baru ini.

Jenazah pelajar wanita dikebumikan di Klang

Jenazah pelajar wanita Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) Nur Alya Damia Hairi yang dipercayai mati akibat dibunuh, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang pada 6.50 petang semalam.

Terdahulu, jenazah tiba di kediaman keluarganya di Kampung Idaman di sini dari Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira jam 4.50 petang diiringi anggota keluarga terdekat.

Jiran tetangga, sanak saudara dan rakan-rakan Allahyarham dilihat hadir menziarahi jenazah buat kali terakhir di rumahnya sebelum dibawa ke Masjid Al-Falah, Kampung Idaman, Klang untuk disolatkan.

Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan tersebut kira-kira 5.30 petang untuk dikebumikan.

Mayat mangsa bot karam di Nanga Ensiring dijumpai

Mayat seorang daripada tiga mangsa kejadian perahu panjang karam di Lubok Sepali, Ulu Sungai Kanowit dekat Julau petang kelmarin ditemui terdampar di tebing sungai kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

Mangsa seorang wanita dikenali sebagai Lenny Ingang, 46, ditemui di tebing sungai berdekatan Rumah Gani, Wong Bar dekat sini, oleh pasukan mencari dan menyelamat yang memulakan operasi sejak pagi ini.

Anak perempuan mangsa yang belum ditemui dikenali sebagai Ebiline Linty Kaya, 23, dan cucu lelakinya Kevin Sama Markus, berusia enam tahun.

Penyusunan semula lorong sepanjang Jalan Kepong

Penyusunan semula lorong di sepanjang Jalan Kepong (arah Sungai Buloh), Pekan Lama Kepong akan dilakukan bermula Ahad ini (27 Mei) sehingga 27 Julai.

Menurut kenyataan MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd, penyusunan lorong sejauh 100 meter bermula dari lot kedai Pekan Lama Kepong sehingga Shell Kepong itu dibuat selama 24 jam setiap hari berikutan kerja-kerja penyambungan paip air dan kerja yang berkaitan.

Sebanyak dua lorong akan dikekalkan untuk pemandu yang menuju ke arah Sungai Buloh.

Kastam Thailand rampas minyak seludup dari M'sia

SONGKLA: Jabatan Kastam Bahagian Sembilan merampas lebih 10,000 liter minyak petrol dan diesel dipercayai diseludup dari Malaysia.

Pengarahnya, Manoch Phitak berkata rampasan itu dibuat hasil operasi jabatan itu bermula 20 Mei lepas sehingga hari ini, yang turut melibatkan penahanan tujuh orang bagi membantu siasatan berhubung kegiatan tersebut.

"Pengedar minyak haram di selatan Thailand mengambil kesempatan daripada peningkatan harga minyak petrol dan diesel di negara ini untuk menyeludup minyak dari Malaysia yang jauh lebih murah dan dipasarkan di sini," katanya kepada pemberita semalam.

Harga petrol dan diesel di Thailand meningkat sejak akhir-akhir ini sehingga mencecah RM3.20 seliter.

APMM tahan dua bot nelayan Vietnam

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan Vietnam bersama 13 awak-awak dan dua tekong kerana menceroboh serta menangkap ikan secara haram di perairan negara.

Ketua Zon Maritim Kemaman, Lt Kdr Maritim Mohamad Rezal Kamal Bashah berkata bot pertama ditahan pada 12 tengah malam manakala bot kedua pada 12.40 pagi semalam di kedudukan 40 batu nautika dari Kuala Kemaman dalam Operasi PERKASA yang dijalankan di sekitar Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut disyaki menggunakan dokumen palsu bagi mengelirukan anggota penguat kuasa selain tekong dan awak-awak juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta permit menangkap ikan yang sah daripada pihak berkuasa Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS