Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembalakan bukan punca kolam tadahan air tercemar - Jabatan Hutan
Diterbitkan:  May 26, 2018 1:42 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Jabatan Perhutanan Pahang hari ini menolak dakwaan aktiviti pembalakan sebagai punca pencemaran kolam tadahan air di Bukit Segantang di Sungai Lembing.

Pengarahnya Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata aktiviti pembalakan masih belum dilakukan di kawasan berhampiran kolam tadahan air itu yang didakwa menjadi sumber bekalan air kepada kira-kira 100 penduduk di Kampung Kuala Kenau.

Beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan lesen pembalakan di kawasan itu yang merupakan tanah kerajaan dan berstatus bukan hutan dara melibatkan kawasan seluas 25 hektar yang dibahagikan kepada dua blok.

"Peratus status kerja semasa ialah 15 peratus dan melibatkan blok A sahaja. Kawasan tadahan air yang dimaksudkan berada di blok B dan setakat ini masih belum diusahakan.

"Pihak kami juga telah menjalankan pemeriksaan di lapangan pada 5 petang semalam dan mendapati kolam tadahan tersebut masih jernih, tidak langsung keruh dan masih digunakan sebahagian penduduk kampung," katanya semasa dihubungi Bernama hari ini.

Beliau mengulas laporan media hari ini berhubung dakwaan penduduk Kampung Kuala Kenau bahawa kolam tadahan air yang dianggarkan berusia 100 tahun tercemar sejak 20 Mei lalu ekoran aktiviti pembalakan.

Mohd Hizamri juga memaklumkan bahawa pihaknya telah mengadakan sesi konsultasi melibatkan syarikat pembalakan dengan wakil-wakil penduduk berhampiran hutan itu bagi mendapatkan pandangan mereka pada 14 Mac lalu.

Selain wakil penduduk Kampung Kuala Kenau, sesi itu juga dihadiri wakil Kampung Sungai Mas, Kampung Melayu Sungai Lembing, Kampung Jeram Takar dan Kampung Orang Asli Sungai Mas, katanya.

"Pasa sesi itu, tiada bantahan dikemukakan berhubung aktiviti pembalakan oleh wakil penduduk yang hadir dan mereka juga menandatangani surat bersetuju aktiviti pembalakan dibenarkan," katanya.

Mohd Hizamri berkata lesen pembalakan di kawasan itu berkuat kuasa bermula 23 Mac lalu hingga 22 Jun depan dan pihaknya sentiasa memantau perjalanan projek tersebut bagi memastikan ia mematuhi undang-undang.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS