BERITA

Laporan: K'jaan perlu bayar pampasan tinggi jika batalkan HSR

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Mei 2018, 2:58 tengahari

Kerajaan rugi dalam jumlah yang besar sekiranya projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dibatalkan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru, katanya, kerajaan sedang mempertimbangkan cara bagi mengurangkan pampasan yang perlu dibayar kepada Singapura sekiranya projek itu akhirnya dibatalkan.

"Syarat dan perjanjian untuk HSR adalah antaranya jika kita membatalkan projek itu, kita perlu membayar pampasan yang tinggi. Kita sudah ada perjanjian dengan Singapura. Sekiranya kita langgar perjanjian itu, kita perlu bayar dalam jumlah yang besar," kata Dr Mahathir dipetik The Edge.

Projek HSR yang bernilai RM100 bilion merupakan salah satu projek mega di bawah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang diteliti semula oleh kerajaan.

Satu lagi projek mega lain yang sedang diteliti adalah projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Dr Mahathir berkata, tindakan Najib untuk melaksanakan dua projek mega serentak adalah langkah yang 'gila'.

"Dia macam tak fikir bagaimana kita akan bayar semua projek ini.

"Dia tahu ECRL, misalnya, adalah sesuatu yang kita tidak mampu. Ia tidak akan memberi banyak manfaat. Ia tidak akan memberi pulangan. Tapi dia teruskan juga dan buat keputusan untuk bina," kata Dr Mahathir.

Perdana menteri berkata kontrak ECRL 'pelik' kerana Malaysia perlu mendanai projek dengan meminjam dari China dan dalam masa sama mengupah kontraktor dari negara itu.

Meskipun ECRL mempunyai kemungkinan akan dibatalkan, pentadbiran kerajaan di bawah Dr Mahathir dilihat tidak menjarakkan diri daripada China.

South China Morning Post melaporkan memo dalaman daripada dr Mahathir kepada Setiausaha Menteri Luar Datuk Ramlan Ibrahim berkata "hubungan rapat kita dengan China akan terus berkembang".

[Baca berita penuh]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.