Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Izzah: Panggilan gangguan seksual tak boleh dibiarkan
Diterbitkan:  May 27, 2018 12:28 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

Tidak dapat diterima sama sekali. Begitu sikap yang diambil Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengenai tingkah laku pemanggil telefon dalam rancangan radio yang melibatkannya apabila Izzah diulas secara terbuka dan terang-terangan mengenai cara pemakaiannya.

Nurul merujuk kejadian Jumaat lalu, yang digelarnya sebagai "Call-gate" dan berkata isu itu tidak lagi boleh dikesampingkan demi nasib wanita Malaysia yang berhadapan bentuk gangguan yang sama, kedua-duanya "tidak diketahui dan tidak kelihatan".

"Dalam apa yang kini dikenali sebagai "Call-gate", saya percaya gangguan dan pencerobohan yang sangat 'kesat' terhadap saya oleh seorang pemanggil itu adalah penting untuk mengingatkan kita semua bahawa gangguan yang tidak wajar berlaku hampir setiap hari - bahkan terhadap lelaki.

"Dan walaupun seorang ahli parlimen seperti diri saya juga tidak terkecuali, apa lagi wanita lain di Malaysia, yang tidak diketahui dan tidak kelihatan, yang sering kali berlaku?

"Demi wanita Malaysia yang berhadapan gangguan yang sama dan bagi mencegah kejadian serupa pada masa akan datang, masalah ini tidak boleh dibiarkan tanpa ditangani. Oleh itu, saya ingin menyatakan secara jelas dan tegas: Tingkah laku pemanggil itu tidak dapat diterima dalam apa jua peringkat sekalipun," tulis Nurul Izzah dalam ulasannya, terbit Malay Mail hari ini.

Beliau juga berkata hal ini mencerminkan keadaan semasa di Malaysia, yang dikatakan sangat ketinggalan dalam menangani masalah terhadap wanita, yang diserap oleh "budaya patriarki, seksisme dan maskulin yang toksik" dan kekurangan undang-undang gangguan seksual yang ketat.

Masyarakat juga perlu mempertahankan wanita daripada ketidakadilan tersebut dan melibatkan lebih banyak kepekaan apabila membuat komen tentang isu-isu yang dihadapi oleh wanita, kata beliau lagi.

Beliau menjelaskan ini memerlukan penyertaan aktif semua rakyat Malaysia - termasuk golongan lelaki.

Mengucapkan terima kasih kepada mereka yang membela dirinya berikutan kejadian itu, Nurul menegaskan sokongannya terhadap cadangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk memperkenalkan langkah yang lebih komprehensif bagi memastikan kebajikan wanita lebih baik dan menggesa pelaksanaan Akta Gangguan Seksual dan Akta Pencerobohan Privasi.

Perbaiki kehidupan wanita

"Dengan semua perubahan yang sedang dialami negara kita, ia akan menjadi sia-sia jika tenaga positif ini tidak digunakan untuk memperbaiki kehidupan wanita," katanya.

Kejadian itu berlaku ketika anak sulung Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu menjadi tamu rancangan radio tempatan pada Jumaat lalu apabila beliau menerima panggilan telefon daripada seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai Azrul yang menegur cara Nurul Izzah berpakaian.

"YB (Nurul Izzah) kena berhati-hati sebab YB pakai tudung. Tudung YB kadang-kadang terselak. Kadang-kadang ternampak bahagian yang tak sepatutnya," kata individu berkenaan melalui panggilan telefon.

Nurul Izzah yang kelihatan terkejut mengucapkan terima kasih atas teguran itu dan cuba menamatkan perbualan, namun individu itu terus memberi perincian baju kebaya Nurul Izzah yang menurutnya 'ketat'.

"Nampak baju dalam semua. Nampak buah dada tu lah," kata pemanggil itu.

Lihat Komen
ADS