Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan pusat akan meneliti pelbagai kes rasuah dalam semua kementerian sebelum melihat kepada cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Katanya keutamaan kerajaan ketika ini ialah membasmi rasuah.

"Sebagai contoh, apabila kerajaan membentuk pasukan khas mengenai 1MDB, apa yang kita temui sangat mengejutkan.

"Sebab itu keutamaan kerajaan ialah melawan rasuah dulu kerana ia melibatkan kesejahteraan negara.

"Kalau kita tak buat begitu, negara boleh bankrap dan rakyat akan menderita," katanya.

Mohamad yang juga presiden AMANAH berkata demikian kepada media pada majlis berbuka puasa di rumahnya di Kampung Guar Petai, Tasek Gelugor di Pulau Pinang petang tadi.

Cadangan meminda akta berkenaan - juga dikenali sebagai Akta 355 -dibawa melalui usul persendirian oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada persidangan Dewan Rakyat lalu.

Dikritik dari pelbagai aspek, rang undang-undang Abdul Hadi hanya sempat dibentangkan tetapi tidak dibahaskan. Pada satu ketika Abdul Hadi sendiri meminta perbahasan rang undang-undang berkenaan ditangguhkan.

Bincang dalam mesyuarat

Kebiasaannya sesuatu rang undang-undang dibawa oleh kerajaan dan bukan anggota parlimen secara peribadi.

Selepas PRU14 Putrajaya kini dikuasai Pakatan Harapan dan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah meminta AMANAH "mengotakan janji" mereka sebelum ini.

Dipertik BH Online Mohd Amar berkata kini AMANAH sudah boleh bersuara kerana menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat.

"Kini mereka sudah berjaya membentuk kerajaan baru menggantikan BN. Kita akan melihat sama ada mereka akan mengotakan janji sebelum ini.

"Bagaimanapun, kita masih menaruh harapan tinggi pembentangan rang undang-undang Akta 355 dapat diteruskan menerusi kerajaan Pakatan Harapan," katanya yang juga timbalan menteri besar Kelantan.

Menurut Mohd Amar usul berkenaan tetap menjadi agenda penting PAS.

Mohamad berkata isu berkenaan akan dibincangkan di peringkat dalaman parti terlebih dulu dan ia mungkin akan dibuat pada Selasa ini.

"Kita akan bincangkan kalau ada agenda mengenainya dalam mesyuarat berkenaan," katanya.

Sementara itu kelibat Mohamad - yang memang popular di kalangan rakyat sejak bersama PAS puluhan tahun lalu - menarik orang ramai yang berkunjung menyertai majlis berbuka puasa berkenaan.

Berbaju Melayu merah jambu, Mohamad berkata, majlis berkenaan adalah anjuran peribadi dan tidak melibatkan dana kerajaan.

Tetap Mat Sabu dulu

Dalam ucapan ringkasnya juga beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Abang Mat memberitahu cara hidupnya kini berubah sedikit dan perlu lebih berhati-hati dalam tindakannya sesuai dengan kedudukannya sebagai menteri.

"Dulu saya biasa minum di kedai kopi, sekarang ada beberapa sekatan sebab saya ditemani anggota keselamatan.

"Dulu saya boleh cakap apa saja, sekarang saya kena berhati-hati kerana ia mungkin melibatkan aspek keselamatan negara dan hubungan dengan pihak lain.

"Bagaimanapun saya tidak akan menjadi Mat Sabu yang lain," katanya.

Dalam PRU14 pada 9 Mei lalu Mohamad bertanding di kerusi parlimen Kota Raja.

Beliau mengalahkan dua pencabar lain dengan majoriti 71,142 undi. Secara keseluruhan kawasan Kota Raja mempunyai 149,021 pengundi berdaftar.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS