Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'KJ kena tinggalkan Umno, tubuh parti berbilang kaum'
Diterbitkan:  May 28, 2018 11:05 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong mencadangkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk membentuk parti berbilang kaum bagi menyeimbangi Pakatan Harapan (HARAPAN).

Liew berkata sebagai pembangkang agak sukar Umno dan BN untuk menarik sokongan generasi muda ke pihak mereka, terutamanya sejak tsunami politik Malaysia pada 9 Mei dan juga kebangkitan golongan muda.

"Mungkin jika Khairy meninggalkan Umno dan menubuhkan parti berbilang kaum yang baru, ia boleh memberi saingan menyeimbangi Pakatan Harapan (HARAPAN) dan akan membawa kebaikan kepada rakyat," kata Liew dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy sebelum ini mengisyaratkan beliau tidak menolak Umno membuka keahliannya kepada semua kaum, menjelaskan semua pilihan perlu diambil kira ekoran kekalahan BN dalam pilihan raya.

Meskipun maklum beberapa pemimpin BN berhasrat memikirkan masa depan politik yang berbilang kaum, Liew tertanya-tanya jika mereka mempunyai keupayaan politik untuk melaksanakannya.

"Saya tidak menafikan terdapat juga elemen dalam masyarakat yang berharap dapat mencipta 'serangan ala Donald Trump' dengan membangkitkan sentimen perkauman di kalangan mereka yang tersingkir daripada sudut ekonomi.

"Saya juga tidak menyangkal terdapat pihak yang mungkin ingin membuat situasi serupa 'Ahok' di Indonesia dengan menyentuh sentimen agama," katanya, merujuk kepada bekas gabenor Jakarta itu.

Walaupun demikian, Liew yakin keamanan dan keharmonian akan tetap dicapai.

"Perdamaian antara dua gergasi politik Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, rasa semangat untuk tujuan dan nasib bersama dalam pilihan raya baru-baru ini yang dirasakan oleh semua orang dan semoga rangka kerja dasar ekonomi yang sesuai dengan rakyat Malaysia akan dapat membantu membina masa depan bersama rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Liew mencadangkan agar kerajaan HARAPAN melaksanakan pelbagai pembaharuan terhadap sistem pilihan raya yang disyorkan oleh BERSIH dan kumpulan masyarakat sivil mengenai reformasi pilihan raya. Antara cadangan itu adalah untuk menurunkan umur mengundi sehingga 18 tahun.

Rakyat tak lagi takut kerajaan

"Lebih ramai anak muda yang terlibat dalam pilihan raya, semakin sukar bagi BN untuk membuat kemunculan semula.

"Memandangkan ini, Pakatan Harapan tidak boleh terus berpuas hati dengan kejayaannya. Kerajaan baru perlu ingat, rakyat Malaysia tidak lagi takut kepada kerajaan hari ini dan mereka tahu perubahan kerajaan akan berjalan secara aman.

"Mereka tidak lagi takut untuk membuat perubahan," jelas Liew, yang berkata beliau telah diberi peringatan oleh ramai rakyat Malaysia untuk mentadbir negara dengan baik atau jika tidak, mereka akan mengundi untuk membuang kerajaan ini.

Liew menegaskan betapa pentingnya pembangkang yang berwibawa untuk demokrasi bergerak.

Langkah pertama, katanya, adalah untuk Umno BN untuk menjarakkan dirinya daripada warisan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Najib dan isterinya Rosmah Mansor menjadi faktor toksik bagi bekas kerajaan, sekurang-kurangnya sejak Julai 2015.

"Kehadiran Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai pemimpin baru Umno tidak akan banyak (membantu) untuk menyelamatkan reputasi BN. Mereka masih terpalit dengan warisan Najib," katannya.
 

Lihat Komen
ADS