Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Walaupun Menteri Kewangan Lim Guan Eng memberitahu negara mempunyai hutang melebihi RM1 trilion, ia tidak menjadi masalah sekiranya kerajaan mampu membayar hutang berkenaan.

Namun apa yang lebih penting ketika ini ialah kerajaan perlu membendung ketirisan bagi mengelakkan lebihan perbelanjaan seperti yang berlaku semasa pentadbiran terdahulu, kata Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Ali.

Dengan mengumpamakan pengurusan wang negara seperti perniagaan, Ameer turut yakin kerajaan mampu membayar hutang yang dinyatakan memandangkan kerajaan mempunyai pelbagai pendapatan.

"Kadang-kadang bila kita tengok nombor (RM1 trilion) ia menakutkan tetapi sebetulnya, kalau kerajaan ada tunai kewangan, ada pendapatan dan boleh bayar, ia tak ada masalah.

"Sebab kerajaan ada banyak pendapatan dari cukai-cukai yang mereka kutip dan sebagainya. Tapi paling penting kita tak mahu ketirisan berlaku. Kalau tak ada (ketirisan), kerajaan boleh jimat wang dan boleh bayar (hutang).

"Kerajaan mampu bayar hutang asalkan boleh tutup ketirisan sedia ada. Kita semua tahu memang ada ketirisan sebelum ini," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang memberitahu bahawa hutang negara melebihi RM1 trilion berdasarkan pelbagai faktor termasuk hutang 1MDB dan projek mega yang diluluskan pentadbiran sebelum ini.

Bagaimanapun, Lim berkata angka RM1 trilion itu akan dinilai semula selepas pelbagai jabatan menyatukan akaun masing-masing kerana sebelum ini terdapat fail dan laporan yang tidak dapat diakses.

Sementara itu, mengulas mengenai pengurangan perbelanjaan, Ameer yang telah menjalankan perniagaan sejak 1986 mencadangkan agar kerajaan baru Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak 'menghapuskan' baju korporat dengan logo 1Malaysia yang telah diguna sektor kerajaan sebelum ini.

Jadikan batik baju korporat

Katanya, apa yang perlu pentadbiran baru itu lakukan ialah meningkatkan industri batik negara yang semakin 'mati' dengan menjadikan baju batik sebagai baju korporat.

"Sekarang ini baju korporat kerajaan semua ada logo 1Malaysia. (Perdana Menteri) Tun (Dr Mahathir Mohamad) kata dah tak nak pakai logo 1Malaysia. Apa akan jadi pada baju itu sedangkan kerajaan dah belanja ribu atau jutaan ringgit.

"Takkan kena tukar baju yang tak ada logo? Saya cadangkan daripada buat baju korporat yang baru, biarlah mereka pakai yang sedia ada dan jadikan baju batik sebagai baju korporat.

"Dari baju korporat yang diimport dari China, lebih baik kita bantu industri tempatan yang semakin mati itu dengan mewajibkan pemakaian batik. Ia juga membantu industri batik bangun kembali," ujarnya.

Slogan dan logo 1Malaysia diasaskan oleh perdana menteri sebelum ini Datuk Seri Najib Razak sejak menjadi pemimpin negara pada 2009.

Selepas HARAPAN menang pada pilihan raya umum ke-14, Dr Mahathir memberitahu bahawa slogan 1Malaysia tidak akan diguna lagi dan akan diganti dengan slogan lain.

Namun, kerajaan HARAPAN masih belum memutuskan slogan yang sesuai ketika ini.
 

Lihat Komen
ADS