Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | Pada malam bersejarah 9 Mei lalu, Umno bukan saja menjadi pembangkang di peringkat persekutuan, tetapi juga negeri yang sebelum itu ditadbirnya - Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu dan akhirnya Sabah.

Pada malam itu, enam jam selepat tamatnya waktu mengundi, bekas Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin telah meminta salah seorang ADUN yang menang Datuk Hasni Mohammad untuk bersedia menjadi ketua pembangkang negeri.

Ketika itu, keputusan tidak rasmi sudah pun keluar dan menunjukkan Umno dan BN jauh ketinggalan. Khaled sendiri tumbang di Parlimen Pasir Gudang dan DUN Permas.

Keesokannya, beliau mengaku kalah dan menjamin peralihan kuasa berjalan lancar.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Hasni mengimbas kembali malam itu.

"Pada sebelas malam, dia (Khaled) panggil saya dan kata: 'Kita akan hilang Johor'. Ketika itu kami masih menunggu sebahagian keputusan.

"Tetapi dia tegaskan: 'Kita jauh di belakang. Mustahil untuk kejar. Nampaknya kita akan hilang negeri. Lebih baik anda bersiap sedia untuk jadi ketua pembangkang'."

Salah seorang daripada sejumlah kecil yang tidak dibadai 'tsunami Malaysia', Hasni (gambar) berkata beliau dipilih berdasarkan tahap kanan di kalangan 17 ADUN BN di negeri itu.

Selain Khalid, ramai pemimpin kanan lain turut tumbang seperti Datuk Md Jais Sarday dan Datuk Ayub Rahmat.

Selepas pertemuan dengan Jawatankuasa Badan Perhubungan Negeri Umno, Hasni secara rasmi diumumkan sebagai ketua pembangkang negeri itu.

'Baik mula bekerja'

Menyertai Umno Pontian pada 1989, Hasni menjadi ketua pemuda Umno negeri sembilan tahun kemudian, sebelum menjadi setiausaha politik Menteri Belia ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Beliau melepaskan jawatan itu selepas menjadi anggota parlimen Pontian pada PRU 2004.

Kemudian beliau ke peringkat negeri dan bertanding di Benut, salah satu DUN di Pontian. Beliau menjadi exco kerja raya dan kemajuan luar bandar dan wilayah.

Hasni juga Ketua Umno Bahagian Pontian, jawatan yang dipegang sejak 2001.

Umno Johor tidak mengambil masa lama untuk memuktamadkan nama ketua pembangkang, dan bagi Hasni ia bagi menghormati kehendak rakyat.

"Semuanya tentang kepentingan rakyat...pengundi sudah pun tentukan BN adalah pembangkang di Johor.

"Kami terima hakikat bahawa rakyat telah buat pilihan, dan lebih baik kami mula bekerja sekarang," katanya.

Hasni berkata beliau sanggup menggalas tugas menjadi ketua jawatankuasa kira-kira awam negeri jika kerajaan HARAPAN menjadikan jawatan itu untuk ketua pembangkang DUN.

"Saya tidak melihatnya sebagai mengakui kerajaan telah melakukan perkara yang baik. Jika prestasi mereka bagus, maka baik untuk rakyat," katanya ketika ditanya tentang sama ada Umno Johor mungkin tidak akan mengambil jawatan itu, seperti yang dilakukan Umno Selangor sebelum ini.

Selepas PRU 2013, DUN Selangor meluluskan pindaan aturan mesyuarat dengan memperuntukkan jawatan itu kepada ketua pembangkang sebagai unsur semak dan imbang dalam kerajaan.

Namun ketua pembangkang ketika itu Datuk Shamsudin Lias enggan mengambil jawatan itu dan kemudian meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang. Ia tidak berganti sehinggalah tamat penggal.

'Dekad baru'

Mengulas rancangannya sebagai ketua pembangkang, Hasni berkata kerajaan BN sebelum ini mempunyai rekod kewangan yang baik, dan 'Dekad Baharu' - gagasan untuk negeri buat sepuluh tahun akan datang.

Justeru, beliau berkata akan menggabungkan beberapa idea pelan itu dalam pentadbiran HARAPAN sekarang.

"Sedikit sebanyak kita mencapainya. Malah menteri besar sekarang (Datuk Osman Sapian) mengakui kedudukan kewangan kukuh dan kita tidak meminjam.

"Maka tidak terlalu sukar untuk jadi pembangkang. Banyak yang dicapai Johor bawah BN."

Selain itu, Hasni berharap dapat berfungsi sebagai semak dan imbang biasa kepada kerajaan HARAPAN, bermula dengan mempersoalkan kewajaran pemberian air percuma untuk 10 meter kubik pertama kepada rakyat.

"Jika mereka mahu beri 10 meter kubik air secara percuma, saya akan minta justifikasi...Pada masa lalu, kita telah beri rebat air kepada keluarga berpendapatan rendah. Kita perlu didik rakyat agar menggunakannya secara berhemah.

"Kita menggukan 210 liter sehari manakala negara seperti Singapura hanya guna 150 liter. Mengapa kita perlu ambil mudah dengan penggunaan air?"

Hasni juga akan membentuk barisan pembangkang yang kuat dengan ADUN BN berpengalaman, seperti Datuk Samsol Bari Jamali (Umno-Semarang), Ayub Jamil (Umno-Rengit), Datuk R Vidyanathan (MIC-Kahang) dan K Raven Kumar (MIC-Tenggaroh).

Lihat Komen
ADS