Malaysiakini
BERITA

Syarikat Air Kelantan saman Husam

N Faizal Ghazali

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Mei 2018, 4:39 pagi

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengambil tindakan saman terhadap Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Husam Musa berhubung dakwaan wujudnya penyelewengan dalam syarikat itu.

Perkara itu disahkan Pengurus Besar AKSB, Ir Wan Mohd Zamri Wan Ismail dan pihaknya melalui peguam kini sedang menanti tarikh sebutan kes di mahkamah.

"Kita sudah mulakan tindakan melalui peguam dan notis saman juga kita berikan kepada Husam.

"Ya, ia berhubung dakwaan dalam pendedahan beliau sebelum ini (isu kelulusan projek Skim Bekalan Air Merbau Condong Fasa 11, Pakej 1)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, di Kota Bharu, hari ini.

Husam yang juga bekas anggota dewan undangan negeri (ADUN) Salor pada 5 Mac lalu menggesa penjelasan kerajaan negeri berhubung pemberian tender projek bernilai RM27.1 juta itu.

Surat tawaran, entiti belum wujud

Menurutnya, surat tawaran tender projek diberikan kepada Cdah Construction Jangka Prestasi JV pada 22 Januari 2015 sedangkan ketika itu syarikat berkenaan masih belum didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Cdah Construction Jangka Prestasi JV hanya didaftarkan pada 9 Mac 2015.

"Tarikh pelantikan pada 22 Januari 2015 itu bermakna, dua bulan kemudian baru syarikat ini ditubuhkan.

“Jelas di sini surat tawaran dianugerahkan kepada entiti yang belum diwujudkan dan hingga hari ini kerja pembinaan masih berjalan,” kata Husam.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan Pengerusi Lembaga Pengarah AKSB, Datuk Hanifa Ahmad (gambar, bawah, tengah) dan beliau menjelaskan AKSB melantik Cdah Construction Sdn Bhd dan Jangka Prestasi Sdn Bhd yang terlibat dalam usaha sama (JV) selepas syarikat itu lulus kesemua peringkat penilaian jawatankuasa tender.

Sementara itu, dalam perkembangan sama AMANAH melalui Pemuda AMANAH negeri membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung dakwaan Husam itu.

Pengarah Mobilisasi Pemuda AMANAH Kelantan, Mohd Afiq Ayob berkata, pihaknya meminta SPRM menyiasat tender projek tersebut yang didakwa tidak mengikut prosedur yang betul.

Katanya, tender projek yang dinamakan sebagai projek merekabentuk, membina, menyiapkan, mengujilari, mentauliahkan kerja-kerja mekanikal serta kerja-kerja berkaitan (reka dan bina) untuk skim Bekalan Air Merbau chondong Fasa II ( Pakej 1 ), Jajahan Machang, dianugerahkan kepada syarikat yang belum wujud, tidak berdaftar dan tidak menyertai tender.

"Lembaga Tender AKSB memutuskan untuk memberikan tender kepada syarikat yang tersebut pada 22 Januari 2015 sedangkan syarikat tersebut diperbadankan pada 9 Mac 2015," katanya sambil menjelaskan AMANAH khuatir wujudnya unsur-unsur penyelewengan dalam penganugerahan tender tersebut.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.