Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Putrajaya bincang dengan S'pura untuk batalkan HSR
Diterbitkan:  May 28, 2018 6:16 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pentadbirannya akan mengadakan perbincangan dengan Singapura untuk membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Beliau memberitahu Financial Times yang berpangkalan di London bahawa HSR adalah salah satu contoh "projek yang tidak perlu" dan langkah berjimat diperlukan untuk mengelakkan negara diisytiharkan muflis.

"Kita perlu menghapuskan beberapa projek yang tidak perlu, contohnya, projek kereta api berkelajuan tinggi yang akan menelan kos sebanyak RM110 bilion dan tidak akan menjana satu sen. Itu akan dibatalkan," katanya.

Bagaimanapun, oleh kerana pentadbiran Datuk Seri Najib Razak telah menandatangani perjanjian HSR dengan Singapura, perbincangan dua hala mengenai projek itu kini perlu jika ia mahu dibatalkan.

"Kami ada perjanjian dengan Singapura," katanya. "Kita perlu berbincang dengan Singapura mengenai projek itu."

Projek HSR merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada tahun 2010. Perjanjian dua hala ditandatangani pada Disember 2016.

Konsortium Malaysia Resources Corporation Bhd-Gamuda Bhd dan konsortium TH Properties Sdn Bhd - Syarikat Pembenaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd - menandatangani perjanjian pada bulan lepas.

Projek itu dikatakan dapat mengurangkan masa perjalanan dengan kereta api antara Kuala Lumpur dan Singapura dengan hanya 90 minit.

Sementara itu, Financial Times turut menyebut Mahathir menyatakan kerajaannya akan merundingkan semula beberapa "perjanjian tidak sama rata" dengan China, termasuk projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

ECRL merupakan satu lagi projek besar dirancang pentadbiran Najib yang mana pengkritik berulang kali mengatakan tidak berdaya maju.

Perjanjian itu melibatkan pinjaman bernilai RM55 bilion daripada bank kerajaan China dan sebuah syarikat milik kerajaannya sebagai kontraktor utama.

Lihat Komen
ADS