Malaysiakini
BERITA

Hadi akui PAS gagal, iktiraf Dr M 'kingmaker'

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Mei 2018, 1:49 pagi

Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad ialah 'kingmaker' sebenar pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, lapor media tempatan.

"Matlamat kami (PAS) untuk menjadi 'kingmaker' tidak berjaya, sebaliknya Dr Mahathir yang jadi pencatur utama, apabila hanya berbekalkan 13 kerusi parlimen yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)," kata Hadi dipetik akhbar Berita Harian hari ini.

Bagaimanapun, anggota parlimen Marang itu berkata PAS berpuashati kerana berjaya mempertahankan Kelantan, selain merampas Terengganu.

"Kita menang dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu, selain masih boleh bersuara di peringkat pusat.

"Selain itu, kita juga menghantar suara melalui wakil di beberapa negeri seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor," katanya lagi.

Pada PRU14 9 Mei lalu, PAS bertanding 158 kerusi parlimen dan menang 18 kerusi. Berdasarkan keputusan ini, Hadi berkata PAS masih ada kekuatan.

"Inilah ukuran kekuatan kita yang saya rasakan PAS masih kuat., namun sistem pilihan raya ini masih mengikut sistem British dan tidak mengikut sistem peratus," Hadi dipetik sebagai berkata.

Dalam laporan Berita Harian itu juga, beliau mendakwa undi yang diterima wakil rakyat beragama Islam daripada HARAPAN masih rendah.

"Siapa yang kuasai undi umat Islam, dia yang kuasai negara dan itu yang ada pada Umno dulu, sekarang sudah berubah dan HARAPAN tidak dapat kuasai undi umat Islam di dalam negara dengan hanya mencapai 58 kerusi dan yang bukan Islam capai 66 kerusi.

"Situasi ini menyebabkan berlaku ketidakseimbangan dan kerajaan HARAPAN bertanggungjawab menyelesaikan kedudukan majoriti umat Islam di negara ini," kata naib ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu.

Jangkaan optimis

Menjelang PRU14 lalu, presiden PAS berkata, "bersedia menjadi kingmaker" dan bergabung dengan mana-mana parti yang sedia memartabatkan Islam dan melaksanakan keadilan untuk rakyat secara keseluruhan.

“PAS berpegang teguh kepada prinsip perjuangan dengan mengutamakan kerjasama yang mendatangkan manfaat kepada agama dan negara.

"Kita optimis mampu memenangi 40 kerusi Parlimen dalam PRU14 sekali gus memperbaiki pencapaian pada PRU lalu.

“Kita berharap PAS akan menjadi ‘kingmaker’, dihubungi semua pihak yang tubuh kerajaan.

"Itu minimum yang kita nak usahakan daripada 160 kerusi. Itulah penyelesaian masalah dengan Islam, kerana Islam adalah untuk semua, adil untuk semua, yang boleh diterima oleh semua pihak,” katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.