Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suami, isteri sokong caruman KWSP untuk suri rumah

Langkah kerajaan mewajibkan golongan suami mencarum sebanyak dua peratus untuk isteri dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disambut baik orang ramai.

Tinjauan rambang Malaysiakini di sekitar Lembah Klang mendapati rata-rata golongan suami yang ditemui menyokong penuh usaha tersebut dan mengalu-alukan langkah kerajaan itu.

Seorang penjawat awam, Mohd Ghazali Hasan, 37, berkata langkah itu baginya adalah jaminan masa depan untuk suri rumah hari ini yang banyak berkorban untuk keluarga tercinta.

"Sekurang-kurangnya ini untuk masa depan yang lebih terbela dari segi ekonomi buat suri rumah selain boleh kita lihat sebagai menghargai pengorbanan para isteri atau suri rumah," katanya kepada Malaysiakini.

Menyuarakan pandangan yang sama, Izad Lazim,39, seorang pekerja swasta berkata langkah itu akan memberi banyak manfaat kepada golongan suri rumah di masa hadapan.

"Pandangan saya (caruman itu) bagus juga untuk isteri sebagai tabungan dan simpanan masa depan isteri. Kita semua maklum apa sahaja boleh terjadi di masa depan. Jadi cadangan kerajaan itu kita lihat lebih kepada perancangan jangka masa panjang suri rumah itu sendiri," katanya.

Bagi Nuzul Izwan Shah, 32 yang juga seorang pekerja swasta, isteri adalah amanah yang harus dijaga sebaik mungkin dan tidak salah untuk suami berkongsi pendapatan mereka demi kelangsungan hidup yang harmoni.

"Sebab bagi saya dalam Islam isteri adalah amanah bagi seorang suami, yang harus dididik dan dijaga elok-elok, jadi tak salah untuk kita kongsi caruman kita kepada isteri," katanya.

Cadangan potongan dua peratus dari gaji suami untuk dicarumkan dalam KWSP atas nama isteri dan RM50 daripada dana kerajaan sebelum ini dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata caruman KWSP untuk suri rumah itu merupakan salah satu daripada manifesto 100 hari Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sementara itu bagi golongan isteri, selain menyatakan syukur ke hadrat illahi, cadangan itu juga bagi mereka bakal memberi manfaat yang besar bagi suri rumah.

Seorang suri rumah, Noraziah Zainal, 32, berkata meskipun suaminya tidak pernah gagal memberinya nafkah atau belanja bulanan namun beliau berpandangan cadangan itu jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada golongan wanita yang tidak bekerja.

"Bagus dan setuju sangat dengan usaha kerajaan hari ini sebagai keprihatinan kepada golongan suri rumah. Macam saya, alhamdulillah suami memang bagi duit poket. Ikutlah nak belanja apa untuk diri sendiri atau sebagai simpanan," katanya.

Tambah Noraziah, dengan cadangan kerajaan hari ini suri rumah tidak lagi sekadar menunggu ihsan suami bagi mendapatkan duit poket, sebaliknya kini sudah mampu mempunyai tabungan hari tua.

"Saya setuju sangat sebab dah ada potongan macam ini, dah tentu semua suri rumah ada duit poket atau tabungan di masa depan selain nafkah ihsan dari suami yang tak tentu jumlahnya.

"Dan ia juga bagus bagi suami yang culas beri duit belanja kepada isteri yang merupakan anugerah dan amanah Allah yang telah dipertanggungjawabkan," tegasnya.

Begitu juga dengan Aminah Sarad, 38, yang mengalu-alukan usaha kerajaan itu kerana ia sangat bagus sebagai tabungan masa depan.

"Baguslah sebab ia boleh dikira menabung juga untuk masa depan suri rumah," katanya.

Lihat Komen
ADS