Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Selepas PRU14, ada yang kehilangan kebebasan diri apabila telah dipilih sebagai wakil rakyat, komitmen mereka telah terikat kepada rakyat setiap masa.

Namun, ada pula yang hilang kebebasan kerana tidak lagi dapat membuat sekehendak hati sebagaimana sebelumnya.

Hal kebebasan ini meyakinkan saya bahawa tanggungjawab kita semakin berat. Berat sekali untuk memberi makna bahawa hidup ini suatu proses pembaharuan yang panjang dan berlapis-lapis.

Apabila memikirkan proses ini, saya teringat pada proses pelajaran yang pernah saya lalui ketika mendapat pendidikan dan latihan formal di fakulti seni halus.

Sebagai pelajar kami harus melalui proses latihan yang panjang dan bertahap-tahap. Salah satu latihan asas yang perlu diikuti sebelum boleh mencapai cita-cita menjadi pelukis ialah melukis.

Kami diberi kertas atau sekeping kanvas berbucu empat. Ada yang segi empat sama, ada pula yang segi empat tepat, ada yang besar, sederhana dan ada yang kecil.

Bergantung kepada kanvas yang kami terima atau pilih.

Dengan permukaan dua dimensi ini, kami dibekalkan lagi dengan bahan cat/warna serta berus dan peralatan-peralatan lain untuk melukis imej yang kami mahukan atau diarahkan. Had lakaran/catan ini adalah bucu empat kanvas tersebut berserta peralatan yang ada dibekalkan.

Pada kanvas ini kami diajar bagaimana garisan dilakar atas permukaan rata hingga menjadi rupa, dari rupa kita bangunkan hingga menjadi sebuah bentuk tiga dimensi. Proses ini memakan masa, warnanya berlapis-lapis, satah dan garisannya juga bertindan-tindan.

Proses ini disertai dengan kaedah menyusun komposisi subjek, persepktifnya serta kadar banding (proportion) subjek. Proses ini juga berjalan bersama teknik sapuan/goresan berus dan warna.

Kesemua teknik-teknik ini ada kesannya. Jika sapuan berus, maka akan ada kesannya (stroke), jika warna maka akan kelihatan kesan warnanya di atas warna.

Dari segi gaya, ia bebas mengikut kecenderungan pelukis itu sendiri. Jika pelukis itu seorang peminat siri komik Dewata Raya, maka warna dan atau komposisi itu akan kelihatan.

Jika pelukis itu memuja karya Vincent Van Gogh, maka teknik itu akan kelihatan.

Faktor masa, keadaan fizikal diri dan emosi memain peranan sebagai latar belakang di sepanjang proses pengkaryaan ini berjalan, kadangkala seminggu, kadangkala berbulan-bulan.

Semua kemahiran dan kebebasan pelukis itu dizahirkan di atas kanvas dua dimensi ini. Inilah had fizikal pelukis tersebut, tak lebih tak kurang.

Kanvas, berus, cat/warna dan peralatan-peralatan lain itu adalah ibarat sebuah rumah yang kita diami dan diisi dengan peralatan atau perkara yang kita inginkan.

Rumah ini sama sifatnya seperti sekeping kanvas yang ada had dan justifikasinya, iaitu saiz dan fungsi rumah itu sendiri.

Ibarat anda mewarisi sebuah rumah daripada seseorang, anda masuk ke rumah itu dengan pelbagai perasaan dan keinginan.

Perasaan dan keinginan itu diterjemahkan kepada rancangan untuk memperbaiki sama ada dengan membina, menukar atau mengubah bentuk serta ruang lama kepada yang baru.

Mungkin perabot rumah perlu ditukar, mungkin ruang dapur diubahsuai, bilik diganti hatta apa sahaja yang anda fikirkan boleh diubah.

Apatah lagi, anda sebagai penghuni atau pemegang amanah rumah tersebut. Maka anda merasakan adalah satu kemestian untuk mengubah apa sahaja yang anda rasakan perlu.

Seorang pelukis, berharap akan dapat menghasilkan sebuah imej di atas kanvas yang sama seperti yang dibayangkan di minda atau mimpinya. Itu yang sering dipercayai oleh pelukis, namun ia jarang berlaku begitu.

Begitulah kiranya ahli-ahli politik yang sedang menghuni rumah baru mereka – kementerian dan kerajaan bersama kakitangan (peralatan) yang diwariskan.

Bezanya, kementerian yang baru dimasuki ini tidak seperti kanvas yang kosong, kerana ia pernah dihuni dan digunakan oleh pemilik sebelumnya.

Nak mansuhkan SPAD, JASA atau BTN, atau mencipta majlis baru itu dan ini, buang itu dan ini, itu mudah dan pastinya ia boleh dilakukan kerana anda kini orang yang diberi mandat sebagai pemegang amanahnya.

Justeru, apa pun perubahan yang akan dibuat, ahli-ahli politik ini perlu sedar bahawa semua itu ada had dan kewajarannya.

Kewajaran ini atas diri mereka sendiri, kerana semua kewajaran ini akhirnya akan diwariskan kepada generasi yang lain.

Jika pelukis diberi berus atau warna sebagai alat untuk melukis ideanya, ahli politik diberi kuasa dan maklumat untuk membentuk kembali rumah baru mereka.

Sama seperti sebuah karya di atas kanvas, kita mahu pembeli yang mewarisi lukisan itu gembira dan berpuas hati dengan hasil yang anda lalukan.

Dalam sebuah lukisan, kita bukan sahaja melihat subjek dan tema lukisan, tetapi kita melihat bayang pada subjek yang terhasil dari mana datangnya cahaya itu.


Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS