Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Defisit bajet kekal 2.8 peratus - Lim
Diterbitkan:  May 31, 2018 6:46 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Defisit fiskal Malaysia dijangka meningkat kepada RM40.1 bilion berbanding RM39.8 bilion, sekali gus mengekalkan defisit bajet sebanyak 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2018, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga komited untuk melaksanakan sasaran utama manifesto dan janji bagi mengurangkan bebanan rakyat yang disusuli dengan pengumuman tiga pendekatan berkaitan.

“Pendekatan itu adalah (pelaksanaan) Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar mulai 1 Jun dan memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September tahun ini.

“Langkah ini akan ‘mengembalikan’ kira-kira RM17 bilion kepada rakyat Malaysia untuk tempoh seterusnya bagi tahun ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata kerajaan turut mengumumkan mekanisme penstabilan harga minyak RON95 pada RM2.20 seliter manakala diesel RM2.18 seliter yang membabitkan penjimatan sebanyak RM3 bilion kepada rakyat negara ini.

Tidak ketinggalan, pemberian bantuan khas Hari Raya berjumlah RM700 juta kepada penjawat awam (Gred 41 dan ke bawah) serta pesara yang turut dinyatakan Lim pada sidang media itu.

Beliau berkata, tiga pendekatan itu yang membabitkan jumlah sehingga RM20.7 bilion akan merangsang perbelanjaan pengguna Malaysia dan meningkatkan sentimen optimis dan keuntungan perniagaan.

“Pada masa sama, kita juga maklum mengenai (paras) hutang kerajaan Persekutuan yang melebihi RM1 trilion dan perlu mengekalkan disiplin fiskal bagi memastikan perbelanjaan secara mapan,” katanya.

Malah, tegas beliau, sejajar usaha keutamaan perbelanjaan, kerajaan akan mengkaji semula, menangguhkan serta melakukan rundingan semula projek-projek yang dikenal pasti membabitkan kos besar dengan nilai sekurang-kurangnya RM10 bilion yang pada akhirnya akan memberi hasil tambahan kepada negara.

Lim turut memperincikan hasil tambahan yang dimaksudkan beliau termasuk anggaran RM5.4 bilion membabitkan kenaikan harga minyak daripada US$52 setong yang digunapakai dalam Bajet 2018 kepada harga semasa sebanyak AS$70 setong.

Peningkatan hasil itu adalah dalam bentuk pendapatan cukai korporat dan petroleum tambahan daripada syarikat minyak yang beroperasi di Malaysia, katanya.

Selain itu, hasil dianggarkan RM5 bilion disumbang oleh peningkatan dividen daripada syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional Berhad, Bank Negara Malaysia and Petroliam Nasional Berhad.

“Pelaksanaan SST pada September nanti pula akan menyumbang hasil yang diunjurkan sebanyak RM4 bilion.

“Anggaran konservatif ini adalah kerana hakikatnya hasil SST itu akan hanya direalisasikan mulai November dan seterusnya dan mengambil kira mekanisme kutipan hutang dwibulanan bagi pengilang tempatan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS