Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno bimbang tindak balas S'pura pada kenyataan Dr M
Diterbitkan:  May 31, 2018 10:23 PM
Dikemaskini: 2:50 PM

Umno bimbang tindak balas Singapura selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mungkin memberi inspirasi untuk perubahan rejim di republik itu.

Kenyataan ini ditambah dengan pengumuman Mahathir membatalkan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR), tanpa memberitahu Singapura terlebih dahulu, dakwa Unit Komunikasi Strategik Umno.

"Kenyataan konfrontasi terhadap Singapura dan kekurangan rasa hormat secara tidak sengaja membatalkan HSR menerusi sidang akhbar tanpa memaklumkan Kerajaan Singapura terlebih dahulu hanya akan membawa kepada dasar yang tidak baik oleh Singapura serta memberikan kesan negatif kepada rakyat Malaysia yang bekerja di sana atau membuat dasar perdagangan yang merugikan kita,” kata kenyataan itu.

Dalam wawancara bersama Financial Times pada Selasa lalu, Mahathir berkata rakyat Singapura "seperti orang di Malaysia, mesti telah bosan dengan kerajaan yang sama, parti yang sama sejak kemerdekaan."

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong ialah antara pemimpin asing pertama yang mengadakan kunjungan hormat bertemu Mahathir selepas beliau kembali berkuasa pada 9 Mei lalu.

Sementara itu, unit komunikasi strategik Umno juga menyuarakan kebimbangan terhadap tiga kenyataan lain yang dibuat Mahathir dan kerajaan HARAPAN.

Umno berkata walaupun perdana menteri berkata tidak perlu risau sekiranya penarafan kredit Malaysia diturunkan, ini boleh menyebabkan aliran keluar pelaburan asing, yang seterusnya membawa kepada kadar faedah yang lebih tinggi dan tambahan RM10 bilion setahun kepada hutang negara.

Umno juga mengatakan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa hutang negara mencecah RM1 trilion telah menyakiti pasaran saham.

Umno juga melahirkan kebimbangan terhadap pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin yang berkata pertumbuhan 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah tidak penting berbanding dengan keperluan rakyat untuk mendapatkan kos sara hidup yang lebih rendah.

Tanpa pertumbuhan KDNK yang tinggi, parti itu berpendapat gaji tidak akan meningkat sama dan peluang pekerjaan semakin berkurang.

Lihat Komen
ADS