Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Akhbar China: Malaysia akan terjejas teruk kerana batalkan HSR
Diterbitkan:  Jun 1, 2018 11:50 AM
Dikemaskini: 4:42 AM

Pembatalan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) akan memberi kesan yang amat teruk kepada Malaysia, kata sebuah rencana yang disiarkan akhbar China.

Wartawan Global Times Hu Weija dalam komentar pedasnya semalam mengkritik langkah Malaysia membatalkan projek itu serta menyemak semula projek mega yang mempunyai kaitan dengan kepentingan China, seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

"Perdana Menteri baru Malaysia Dr Mahathir Mohamad telah berkata akan mengabaikan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Singapura, langkah yang mungkin menjejaskan kepentingan China dan rakan ekonomi lain.

"Jika Mahathir mahu menilai semula projek besar yang dipersetujui pendahulunya dan menjejaskan kepentingan syarikat China, syarikat itu berhak menuntut pampasan.

"Kerajaan China juga akan mengambil langkah konkrit untuk menjaga kepentingan dan hak syarikat China," kata artikel itu yang diterbitkan semalam.

Global Times merupakan akhbar tabloid berbahasa Inggeris bawah akhbar China, People's Daily. Ia bertumpu kepada isu antarabangsa daripada perspektif China.

Artikel itu berkata, ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi perdana menteri, beliau telah berkata perjanjian Malaysia dan Singapura untuk membina HSR adalah rancangan jangka panjang tetapi dibatalkan beberapa tahun kemudian.

"Adakah ini cara Malaysia menunaikan janjinya dan mematuhi semangat kontrak?

"Syarikat dan warga China yang menjalankan perniagaan di Malaysia mencerminkan amalan komersil yang dipandu pasaran, selaras dengan amalan antarabangsa.

"Projek yang didana China bukanlah hadiah yang boleh ditolak Kuala Lumpur tanpa pampasan.

"Jika kerajaan baru Malaysia gagal mematuhi semangat kontrak, ia perlu membayar harga bagi kesilapannya," katanya.

Ekonomi dipandu politik

Mahathir dan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) lain konsisten mengkritik projek mega yang dimulakan pentadbiran Najib, terutama yang melibatkan pelaburan langsung asing dari China.

Sejak menjadi perdana menteri, Mahathir telah membatalkan projek HSR dan menegaskan komitmen HARAPAN untuk menilai semula projek mega dari China itu.

Artikel itu berkata, walaupun infrastruktur di Malaysia boleh dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain, masih ada jurang besar pada infrastruktur di negara ini.

Inilah sebabnya Malaysia tidak mampu untuk kehilangan pelaburan untuk perniagaan infrastruktur dari luar, katanya.

"Malaysia bukan satu-satunya destinasi pelaburan. Tidak susah untuk syarikat China mengalihkan fokus mereka kepada negara lain, ekonomi Malaysia yang akan menanggung kerugian besar," katanya.

Artikel berkata tanggapan awal terhadap dasar ekonomi kerajaan baru Malaysia adalah "ketidaktentuan", namun mengakui masih terlalu awal membuat penilaian muktamad.

Namun, katanya, dasar ekonomi tidak menentu yang dipandu faktor politik adalah antara sebab mengapa sesetengah negara membangun gagal mencapai pembangunan ekonomi, dan berharap kerajaan baru Malaysia tidak membuat kesilapan itu.

"Kami yakin Malaysia akan menangani masalah ini dengan betul.

"Hubungan China-Malaysia sudah diuji masa. Malaysia adalah titik utama sepanjang laluan dalam inisiatif One Belt, One Road," katanya lagi.
 

Lihat Komen
ADS