Status pembinaan beberapa lagi projek di Pangkalan Udara (PU) Sendayan, Negeri Sembilan akan dibincangkan pada minggu hadapan, kata Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Katanya beliau akan berbincang dengan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu bagi mendapatkan perincian berhubung status projek-projek di pangkalan udara tersebut.
“Ada beberapa projek yang belum siap dan pihak kerajaan akan tentukan (status projek di PU Sendayan) nanti.
”Kami (TUDM) mahu projek di PU Sendayan diteruskan kerana ada keperluan untuk warga Tentera Udara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan khas bersempena Hari TUDM Ke-60 bertemakan ‘Kuasa Udara, Tonggak Kedaulatan Negara’ di Pangkalan Udara TUDM Subang hari ini.
Affendi berkata demikian ketika ditanya mengenai status projek di PU Sendayan selepas pertukaran kerajaan baharu Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau berkata ketika ini, perpindahan anggota ke PU Sendayan telah dijalankan secara berperingkat.
“Sesetengah anggota telah beroperasi di PU ini contohnya Markas Pendidikan Udara, pejabatnya telah berada di pangkalan ini,” katanya.
PU Sendayan yang dibina di kawasan seluas 303.5 hektar bakal menjadi pusat latihan terbesar untuk pegawai dan anggota TUDM selain menempatkan kompleks sukan, padang golf (sembilan lubang), kemudahan ekuestrian, kolam renang, pusat Islam dan kompleks kediaman.
Sementara itu, Affendi berkata pihaknya merangka pelan Capability 55 (CAP55) sebagai inisiatif baharu dalam usaha meningkatkan keupayaan aset dan anggota.
Katanya, menerusi CAP55 pihaknya berhasrat mengurangkan bilangan pesawat pejuang bagi memudahkan pengoperasian serta kos logistik.
“Sekarang kita ada kira-kira lima pesawat pejuang, logistik tinggi jika dibandingkan dengan ada satu jenis sahaja. Ini salah satu pendekatan yang akan diterapkan dan konsep seperti ini banyak negara besar gunakan,” katanya.
Dalam pada itu, Affendi berkata pihak TUDM akan mengadakan hari terbuka kepada orang awam di semua pangkalan utama di seluruh negara dalam masa terdekat.
“Ini adalah usaha untuk mendekati rakyat serta memberi peluang kepada mereka untuk melihat sendiri aset TUDM,” katanya.
- Bernama
