Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek RM30b: Dr M tak rasmi, Mukhriz kata belum terima

Perkembangan baru muncul selepas 24 jam hartawan pemaju hartanah Tan Sri Ting Pek Khiing mengumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan merasmikan sebuah projek bernilai RM30 bilion di Langkawi hari ini.

Meskipun Mahathir berada di Langkawi hari ini, sumber di Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberitahu Malaysiakini, perdana menteri tidak akan merasmikan projek berkenaan.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri belum menerima sebarang cadangan mengenai perkara itu.

"Pengumuman itu membingungkan kerana tidak ada cadangan, dialog, pertimbangan, atau kelulusan projek daripada kerajaan negeri yang dipimpin oleh saya," kata Mukhriz dalam satu kenyataan.

Sementara itu, pegawai khas Kementerian Kewangan, Tony Pua, menganggap projek itu sebagai rekaan semata.

"Saya tak akan komen mengenai projek rekaan," katanya ketika diminta mengulas.

Ting (gambar, atas), kurang menonjolkan diri selama 16 tahun lepas, memberitahu media semalam projek RM30 bilion yang dinamakan Langkawi New City, akan ditempatkan di kawasan tanah tambak seluas 81 hektar di sebelah barat Langkawi.

Ahli perniagaan Sarawak itu berkata projek tersebut akan melibatkan pembinaan 30,000 unit kondominium mewah, pusat komersil, kemudahan dermaga tambatan kapal laut dan kapal layar serta kemudahan lain.

Mukhriz berkata Ting menghubungi beliau bagi mencadangkan projek sebegini ketika kali pertama beliau menjawat Menteri Besar Kedah di bawah kerajaan BN dahulu.

Kesan sosial, alam sekitar, ekonomi

Bagaimanapun, beliau berkata tidak ada deposit yang dibuat dan dengan itu projek itu tidak lagi di bawah pertimbangan kerajaan.

Oleh demikian, menteri besar Kedah berkata Ting perlu membuat cadangan rasmi bagi pertimbangan kerajaan negeri.

Mukhriz berkata Kedah tidak mahu menyekat pelaburan di negeri itu, tetapi menegaskan segala-galanya mesti mengikut garis panduan yang betul - termasuk menilai kesan sosial, alam sekitar dan ekonomi.

"Kerajaan negeri mesra perniagaan dan pelaburan tetapi tidak akan berkompromi terhadap ketiga-tiga aspek ini," katanya.

Lihat Komen
ADS