Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pemuda Umno mempersoalkan penubuhan Tabung Harapan Malaysia yang diumumkan kerajaan pada Rabu lalu.

Ketua pemudanya, Khairy Jamaluddin berkata ini kerana kenyataan kerajaan bahawa penubuhannya bagi mengurangkan beban hutang negara yang terlalu tinggi tidak memberi gambaran yang menyeluruh.

“Bagi kami di BN itu (beban hutang terlalu tinggi) bukan gambaran yang menyeluruh. Gambaran yang menyeluruh perlu mengambil kira kemampuan untuk membayar hutang tersebut, yang tak disebut oleh kerajaan.

“Kami yakin walaupun hutang rasmi kerajaan lebih RM600 bilion dengan tanggungan liabiliti lain sampai RM1 trilion tapi dari segi perhidmatan itu, BN rasa kerajaan mampu membayar hutang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis berbuka puasa bersama barisan kepimpinan Pemuda Umno seluruh negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 30 Mei lalu, kerajaan mengumumkan penubuhan dana khas yang dikenali sebagai Tabung Harapan Malaysia bagi membolehkan rakyat Malaysia menyumbang untuk membantu menyelesaikan hutang negara.

Tabung Harapan tangguh janji PRU14

Mengulas lanjut, Khairy yang juga bekas menteri belia dan sukan berkata tujuan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan menunjukkan negara mengalami beban hutang yang besar dan meruncing adalah bagi menyusun semula janji-janji dibuat oleh mereka.

“Ada janji-janji yang ditangguhkan disebabkan alasan hutang yang terlalu besar.

“Itu naratif mereka dan naratif itu kami tidak setuju sebab bagi kami hutang itu tidak menggambarkan keadaan yang menyeluruh dari segi hutang kerajaan yang sebenar dan kemampuan kerajaan dan tuntutan hutang kerajaan.

“Jadi mereka menggunakan itu untuk menangguhkan beberapa janji-janji yang mereka tahu tak dapat dibuat,” katanya.

Khairy yang juga merupakan anggota parlimen Rembau dalam masa yang sama turut menyatakan tidak salah mewujudkan tabung berkenaan bagi menunjukkan solidariti dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang.

“Tapi jangan sampai kita menggunakan tabung itu sebagai alasan kerana kononnya beban hutang ini tak dapat dikawal.

“Bagi saya beban hutang ini walau nampak besar tapi memang dapat dikawal, sebelum ini pun kita ada perancangan untuk pengurusan (membayar) hutang tersebut,” katanya.
 

Lihat Komen
ADS