Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Pemuda Umno menolak cadangan supaya parti Melayu itu bergabung dengan PAS secara rasmi. Sebaliknya, ketua pemuda parti itu, Khairy Jamaluddin bertegas Umno dan Barisan Nasional (BN) mampu menjadi pembangkang yang berwibawa dan tidak membangkang secara membuta tuli.

"Dengan PAS ini saya tidak setuju bergabung secara rasmi, kita akan berkerjasama dan lihat isu bukan sahaja PAS tapi mana-mana parti termasuk dalam kerajaan.

"Sekarang Malaysia baru, dan kita lihat kepada isu. BN tidak akan jadi pembangkang yang hanya nak bangkang sahaja," katanya, ketika sidang media di ibu negara, hari ini.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebelum ini berkata kedua-dua parti itu perlu bergabung pemikiran dan tenaga untuk mewujudkan satu blok baru yang kuat, yang berperanan menjaga kepentingan Melayu.

Beliau berkata, walaupun Umno dan PAS mempunyai kaedah politik berbeza, kedua-duanya mempunyai persamaan dalam memperjuangkan hak Melayu dan Islam.

Tajuddin (gambar) berkata gabungan itu diyakini boleh memberi cabaran besar kepada kerajaan Pakatan Harapan dan penyokongnya yang sejak akhir-akhir ini mula berani menyuarakan desakan yang didakwanya sebagai menghina orang Melayu.

“Isu dan tuntutan yang dibuat dalam tempoh satu dua minggu ini agak mengancam survival umat Islam, ini bahaya kepada kita.

“Saya fikir orang PAS pun dah sedar sekarang ni, akar umbi juga sedia untuk kerjasama, ada ruang-ruang yang boleh dilakukan tanpa perlu tunggu jangka waktu yang lama.

“Jika terus nak tunjuk kehebatan masing-masing, kita tak akan berupaya hadapi tentangan lawan,” katanya.

Sementara itu, Khairy menafikan dakwaan BN kini masih berbulan madu ekoran kekalahan teruk pada PRU14.

“Kita bukan 'honeymoon' tetapi kerajaan (Pakatan Harapan) yang tengah 'honeymoon', kita tak 'honeymoon'.

“Kita sedang rangka strategi, penstrukturan dan pemilihan parti, kalau cakap banyak semua hentam kita, tetapi itu bukan bermaksud kita tak jadi pembangkang wibawa,” katanya.

Lihat Komen
ADS