Berita Malaysiakini

Dr Mahathir: Kerosakan BN sukarkan janji 100 hari HARAPAN

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kerosakan yang ditinggalkan oleh kerajaan Barisan Nasional adalah lebih teruk daripada yang disangkakan sebelum ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini.

Katanya kerosakan-kerosakan ini telah menyulitkan usaha-usaha Pakatan Harapan untuk menunaikan 10 janji pilihan rayanya dalam tempoh 100 hari.

"Kita mencapai kemenangan yang membawa bebanan yang besar. Sebelum itu kita tidak tahu setakat mana kerosakan itu,” katanya semasa berucap di majlis berbuka puasa bersama rakyat Langkawi di Masjid Al-Hana di Langkawi.

Ini merupakan majlis pertama rasmi Tun Mahathir di sini selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh berikutan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

Tun Mahathir sendiri memenangi kerusi Parlimen Langkawi dalam pilihan raya itu dengan majoriti 8,893 undi menewaskan calon BN, Datuk Ir Nawawi Ahmad dan calon PAS, Zubir Ahmad.

Dr Mahathir yang turut diiringi isterinya Tun Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di majlis itu turut menyatakan penghargaannya kepada pengundi di Langkawi kerana memilih Pakatan Harapan dalam PRU14.

Katanya PRU14 telah menyebabkan perbalahan politik semakin meningkat tetapi suasana ini tidak boleh menyebabkan hubungan sosial di antara anggota masyarakat tergugat.

“Saya harap dengan selesainya pilihan raya ini masyarakat di Langkawi dapat bercantum semula. Janganlah jadi terlalu marah sehingga tidak dapat berbaik semula,” katanya.

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 orang itu, beliau bersama isteri dan Mukhriz turut menyampaikan sumbangan Yayasan Islam Negeri Kedah kepada golongan yang memerlukan di Langkawi.

Dr Mahathir tiba di Langkawi petang ini dari Kuala Lumpur dan memulakan acara rasminya dengan mengadakan pertemuan dengan anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Persatuan Hindraf di Langkawi.

- Bernama