Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Pada hemat saya, setelah lebih 20 tahun beroperasi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menjadi jenama yang tersendiri bagi umat Islam di Malaysia.

Ungkapan seperti “Ini dah dirujuk ke Jakim atau belum?” telah menjadi lumrah sebutan sama ada daripada golongan professional mahupun kalangan rakyat biasa. Begitulah nilai "signature" kepercayaan terhadap Jakim .

Hakikatnya, Jakim menjadi badan rujukan umat Islam di Malaysia dalam hal pelaksanaan dan penyelarasan aktiviti-aktiviti keislaman yang rasmi bagi kerajaan pusat.

Sedikit sorotan yang sempat saya fahami dari sejarah penubuhan Jakim bermula 1 Januari 1997 apabila ia menjadi jabatan yang tersendiri, hasil kenaikan taraf Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis) di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Jakim diharapkan menjadi badan perancang dan penyelaras hal ehwal kemajuan Islam di peringkat kebangsaan yang meliputi aspek penyeragaman undang-undang dan pentadbiran berkaitan hal ehwal Islam, hukum syarak, pendidikan serta memastikan dasar dan perancangan pembangunan negara berkaitan agama berjalan dengan lancar.

Jakim juga dipertanggungjawab untuk memperkukuhkan kedudukan umat Islam serta penghayatan Dinul Islam melalui fungsinya menyelaras dan memberi cadangan terhadap aktiviti-aktiviti keislaman yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan bagi memastikan tiada pertentangan antara kepentingan negara dengan Islam.

Pada peringkat negeri, Jakim diberi mandat untuk menyelaras perancangan aktiviti bagi membantu pihak berkuasa agama negeri dalam usaha dakwah dan pembangunan ilmu Islam.

Ada forum tertinggi

Sementara di peringkat antarabangsa, Jakim membina kerjasama strategik dengan negara luar dan badan-badan antarabangsa demi memartabatkan Islam.

Kesemua fungsi ini telah dimainkan oleh Jakim berasaskan apa yang disebut dalam Perkara 11(3) Perlembagaan Persekutuan:

“Tiap-tiap kumpulan agama berhak (a) menguruskan hal ehwal agamanya sendiri; (b) menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan (c) memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang.”

Menyorot sejarah Jakim yang lebih awal, pada 1968, Majlis Raja-raja Melayu telah memperkenankan penubuhan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) dengan perdana menteri menjadi pengerusinya.

Unit Ugama JPM pula dipertanggungjawabkan sebagai urusetia, selaras dengan kuasa eksekutif yang diperuntukkan dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan:

“Kuasa eksekutif persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh jemaah menteri atau oleh mana-mana menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri, tetapi parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.”

Kewujudan MKI ini menunjukkan pernah adanya satu forum tertinggi bagi membincang dan menasihati Majlis Raja-raja berkaitan isu-isu dalam urusan agama di negara ini, selain fungsi penyelarasan aktiviti-aktiviti keIslaman.

Pada 1974, Unit Ugama di JPM (urusetia MKI) telah dinaik taraf menjadi Bahagian Ugama kerana tugas dan tanggungjawab semakin besar.

Pada 1984, ia distruktur lagi yang membawa kepada penubuhan Baheis yang berfungsi melaksanakan program-program keislaman di bawah JPM di samping meneruskan tugas sebagai urusetia MKI.

Berdasarkan sorotan ringkas ini, jelas penubuhan Jakim menepati Perkara 3, Perkara 11(3) dan Perkara 39 Perlembagaan Malaysia, yang memberi makna bahawa pihak Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk menubuhkan, mengurus dan memberikan dana kepada mana-mana institusi berkaitan Islam untuk melaksanakan fungsinya.

Peruntukan mengenai Islam sebagai agama persekutuan dalam perlembagaan semestinya memberi manfaat kepada umat Islam dan kelebihan kepada agama Islam sebagai agama persekutuan di mana Agong berperanan sebagai ketua agama negara dan para sultan menjadi ketua agama di negeri-negeri.

Elak salah guna

Justeru, terbukti dengan jelas bahawa penubuhan Jakim adalah memenuhi lunas-lunas perlembagaan negara.

Berasaskan sejarah penubuhan, pencapaian dan perkembangan semasa Jakim pula, pada hemat saya, dapatlah kita rumuskan beberapa jalan ke hadapan yang wajar diutamakan demi memperkasakan Jakim, seperti berikut:

  1. Jakim menjadi badan pemangkin Islam yang bersifat rahmah kepada masyarakat Malaysia dengan mengambil kira realiti rakyat Malaysia yang berbilang kaum yang hauskan penyelesaian tuntas kepada berbagai konflik yang mungkin timbul dalam pembinaan negara bangsa ini.
  2. Jakim adalah saluran bagi Majlis Raja-Raja Melayu menyalurkan titah raja-raja untuk dibincangkan bersama dengan pihak eksekutif dan rakyat.
  3. Jakim seharusnya mengungguli agenda kesatuan ummah, menghormati dan menghargai kepelbagaian dan membanteras usaha memecahbelahkan ummah seperti gejala takfiri, taasub terhadap kumpulan dan pemimpin, serta sikap melampau terhadap perbezaan antara berbagai aliran pemikiran.
  4. Dalam keadaan kepimpinan kerajaan baru dan rakyat menuntut integriti yang tinggi, setiap jabatan kerajaan termasuk agensi agama wajar bersih daripada salah guna oleh sebarang parti politik. Tidak ada lagi amalan menggunakan jentera kerajaan untuk kepentingan parti.
  5. Jakim dan agensi agama menunjukkan contoh terbaik dalam penyampaian perkhidmatan, melaksanakan amalan terbaik (best practices), akauntabiliti dalam penggunaan dana awam, amalan penjimatan, penolakan rasuah sepenuhnya, sifar ketirisan dan membasmi pecah amanah.
  6. Organisasi Jakim dan agensi agama wajar disusun untuk mempastikan tiada pertindihan dengan agensi-agensi lain di bawah JPM.

Akhir kata, saranan perdana menteri supaya melaksanakan pentadbiran agama Islam selaras dengan panduan yang terdapat dalam al-Quran dan hadis-hadis yang sahih mesti disambut positif oleh masyarakat Malaysia.

Begitu pula cadangan beliau untuk mewujudkan satu kumpulan cendekiawan Islam dan para ilmuan bagi mengkaji peranan Jakim.

Ia sudah tentu memberi nilai tambah serta sumbangan penyelesaian yang bermakna untuk kebaikan dan pembangunan Islam di Malayisa secara menyeluruh dan efektif.

Ini mengambil kira Islam yang telah lama bertapak di nusantara; yang dihiasi nilai-nilai ketimuran yang kaya dengan seni.


HASANUDDIN MOHD YUNUS ialah naib presiden Parti Amanah Negara merangkap anggota parlimen Hulu Langat..

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS