Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Tommy berfikiran sekular tegar
Diterbitkan:  Jun 4, 2018 11:17 AM
Dikemaskini: 3:22 AM

Seorang pemimpin ulama PAS hari ini berkata Tommy Thomas bukan calon yang sesuai diangkat menjadi peguam negara (AG) kerana memiliki pemikiran sekular yang tegar.

Justeru kata Datuk Dr Khairuddin Aman Razali jika Tommy akhirnya dilantik menjadi AG, langkah itu boleh menjejaskan kedudukan dan peranan Islam yang telah dijamin dalam perlembagaan negara.

Katanya, ia juga akan membantutkan usaha memartabatkan agenda Islam yang menjadi teras kedaulatan di negara ini.

"Amat mengecewakan sekali apabila kerajaan baru Malaysia hari ini gagal mengemukakan calon yang bebas kontroversi dan tidak berkepentingan untuk mejawat posisi sepenting itu.

"Kelihatannya sikap itu sama sahaja dengan kerajaan sebelum ini yang sering melantik individu bermasalah untuk memegang jawatan-jawatan penting," katanya yang juga bendahari Dewan Ulama Pusat PAS dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan masih belum dapat menyelesaikan pelantikan AG baru apabila calon yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dilaporkan tidak dipersetujui pihak istana.

Tommy adalah satu-satunya nama yang dipersembahkan kepada Agong.

Jawatan AG kini kosong berikutan penamatan khidmat penyandangnya Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang dikaitkan dengan skandal 1MDB serta membersihkan Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku serta penyelewengan.

Semalam Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata usaha sedang dijalankan oleh kerajaan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Mengancam umat Islam

Khairuddin menambah dalam isu pelantikan AG yang baru, Islam dijadikan 'kambing hitam' apabila pihak tertentu mengaitkan agama dengan sifat zalim.

"Lebih teruk lagi, ada pihak sengaja mengasosiasikan agama dengan sifat zalim, dengan berhujah bahawa lebih baik memilih orang kafir yang baik daripada orang Islam yang zalim, seolah-olah tiada lagi yang adil dan baik di kalangan muslim.

"Islam dijadikan kambing hitam semata-mata mahu merasionalkan pelantikan seseorang yang bukan Islam.

"Ini adalah antara bentuk serangan pemikiran tajaan kumpulan liberalisme dan pluralisme agama yang sedang mengancam umat Islam di negara ini," katanya.

Menurut anggota parlimen Kuala Nerus itu lagi beliau tidak menafikan Tommy memiliki kepakaran dalam bidang undang-undang dan perlembagaan.

Namun begitu kata Khairuddin Tommy bukan orang yang sesuai diberikan jawatan AG.

Beliau juga berpendapat isu pelantikan AG sepatutnya kekal menjadi urusan antara Agong dan perdana menteri sahaja.

"Ia perlu diselesaikan secara tertib mengikut peruntukan dalam perlembagaan.

"Perdana menteri berperanan menasihati manakala Agong tetap berkuasa menentusahkan pelantikan yang perlu dibuat.

"Amat tidak wajar sekali isu ini sengaja didedahkan menjadi polemik awam sehingga boleh mencemarkan nama Agong dan Majlis Raja-raja yang mempunyai kedudukan dan peranan istimewa yang diiktiraf oleh perlembagaan dan sejarah," katanya.

Lihat Komen
ADS