Dr. Azahari Husin terbunuh
Orang paling dikehandaki di Asia, Dr. Azahari Husin dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan pihak berkuasa Indonesia di Batu Malang, Jawa Tengah petang semalam.
Pakar bom rakyat Malaysia yang menjadi buruan sejak tiga tahun lalu itu dikata meletupkan dirinya apabila polis dna tentera Indonesia menyerbu rumah persembunyiannya. Dilaporkan dua pengikutnya turut terkorban dalam serangan tersebut.
Ketua Polis Indonesia, Sutanto yang melawat tempat kejadiuan berkata, Dr. Azahari adalah salah seorang yang mati dalam serangan tersebut.
Bagaimanapun setakat ini belum ada pengesahan rasmi dari pihak poilis negara itu kerana masih menunggu keputusan ujian DNA yang dibuat ke atas serpihan mayat.
Namun nasib sekutu rapat Dr. Azahari, Nordin Mat Top tidak ketahui. Beliau dikatakan tidak berada bersama Dr. Azahari di rumah berkenaan.
Sementara itu ahli keluarga Dr Azahari pula enggan menerima berita tersebut sehingga keputusan ujian DNA mengesahkannya.
Ujian DNA
Menurut anggota sekretariat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Badaruddin Ismail, anggota keluarga Azahari termasuk isteri dan kedua ibu bapanya telah diberitahu mengenai berita itu namun mereka masih belum dapat menerimanya dan enggan mengulas mengenainya sehinggalah keputusan ujian DNA mengesahkan mayat itu adalah Dr. Azahari.
"Isteri Azahari meminta supaya mereka sekeluarga tidak diganggu buat masa ini. Mereka hanya menunggu pengesahan ujian DNA yang mungkin akan dikeluarkan esok (Khamis)," katanya kepada pemberita di hadapan rumah isteri Azahari di Keramat, malam semalam.
Menurut laporan Bernama, media yang mula berkumpul di hadapan rumah itu sejak pukul 9 malam tadi gagal menemu ramah isteri serta mertuanya sehinggalah Badaruddin muncul pada pukul 11.30 malam untuk memberi penjelasan kepada media.
Menurut Badaruddin, dia tidak mengenali keluarga Dr. Azahari malah ini merupakan kali pertama dia berjumpa dengan isteri dan kedua-dua anak bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.
"Saya hanya orang tengah yang menyampaikan berita mengenai Azahari dan oleh itu saya tidak dapat memberi sebarang komen secara terperinci buat masa ini," katanya.
Menurutnya lagi isteri Dr. Azahari tidak dapat bercakap dan menulis apa yang hendak dikatakan menerusi nota yang ditulisnya sendiri.
Sebelum itu Badaruddin telah dimaklumkan mengenai perkara itu yang dikatakan berlaku kira-kira pukul 4 petang waktu Indonesia (5 petang waktu Malaysia) melalui rangkaian NGO yang ada di Indonesia sebanyak dua kali dan menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS).
Sementara itu, kedua ibu bapa Dr. Azahari yang berada di Melaka telahpun dimaklumkan mengenai kejadian itu dan mereka juga menyatakan akan menunggu keputusan DNA.
Dr. Azahari menjadi orang paling dikehendaki di Asia apabila beliau dikatakan mendalangi beberapa serangan bom di Indonesia.
Antaranya termasuklah letupan di pusat hiburan di Bali pada Oktober 2002, serangan berani mati ke atas Hotel JW Marriot di Jakarta pada Ogos 2003 dan letupan di depan kedutaan besar Australia pada September 2004.
Beliau dikatakan mendapat latihan membuat bom di selatan Filipina dan Afghanistan sebelum kejatuhan Taliban pada tahun 2001.
Sepanjang menjadi buruan di Indonesia, Dr. Azahari yang licik dikatakan sentiasa berpindah randah bagi mengelak dari kesan oleh pihak berkuasa Indoensia. Beliau juga dikatakan bergerak berasingan dari orang orang kanannya Nordin Mat Top.