Belum ada pengesahan kematian Azahari
Keluarga Dr.Azahari Husin,48, rakyat Malaysia yang dilaporkan terbunuh dalam letupan bom di Malang, Jawa Timur semalam sedang membuat persiapan untuk membawa balik jenazah beliau ke Kuala Lumpur bagi urusan pengkebumian.
Kordinator Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Baharuddin Ismail berkata, beliau dan beberapa anggota keluarga Azahari telah pergi ke Wisma Putra pagi tadi bagi tujuan tersebut.
Katanya, mereka ingin tahu cara-cara untuk membawa pulang jenazah Dr. Azahari jika benar beliau terbunuh dalam serbuan pasukan polis dan tentera Indonesia di sebuah rumah di Malang itu.
Bagaimanapun, menurutnya sehingga kira-kira pukul jam 12.10 tengah hari tadi, Polis Indonesia belum dapat mengesahkan sama ada lelaki yang terbunuh itu Dr. Azahari.
"Jika benar mangsa tersebut Dr. Azahari, saya menjangkakan jenazah beliau akan dibawa balik ke Kuala Lumpur secepat mungkin untuk dikebumikan di kampungnya di Melaka," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Sementara itu, menurut Baharuddin, keluarga Dr. Azahari di Melaka menerima berita tersebut dengan reda dan menganggapnya sebagai takdir.
Bagaimanapun katanya, keluarga Dr. Azahari ingin mendapatkan pengesahan melalui ujian DNA terlebih dahulu bagai memastikan adakah benar-benar beliau terbunuh dalam kejadian tersebut.
Dalam kejaidian semalam, Dr. Azahari dilaporkan terbunuh bersama dua rakannya setelah berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan yang terpaksa menggunakan bom tangan sehingga menghancurkan rumah sewa berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi daripada polis Indonesia walaupun ada pegawai polis dan media negara itu mendakwa salah seorang yang terbunuh dalam kejadian itu adalah Dr. Azahari.
Ketiadaan pengesahan rasmi ini menimbulkan tanda tanya benarkah yang mati dalam kejadian itu Dr. Azahri atau beliau masih hidup?
Bekas pensyarah kejuruteraan kimia itu dikatakan seorang pakar membuat bom, diburu polis Indonesia sejak tiga tahun lalu kerana disyaki mendalangi beberapa serangan bom di Bali dan Jakarta.