Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lantikan AG: MCA junjung kasih Agong, Umno bantah
Diterbitkan:  Jun 5, 2018 2:27 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

MCA menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V atas "kebijaksanaan" dan "pandangan jauh" baginda memperkukuh kemuliaan Perlembagaan Persekutuan.

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda telah mempamerkan keteguhan dalam menjaga prinsip Perlembagaan Persekutuan, walaupun terdapat tekanan daripada golongan pelampau yang menegaskan AG mesti daripada kaum dan agama tertentu, yang tidak ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan," kata jurucakap MCA Ti Lian Ker.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong memberi peringatan kepada rakyat Malaysia bahawa Perlembagaan Persekutuan undang-undang mulia tertinggi negara dan tiada rakyat Malaysia berada di atasnya.

"Dengan berbuat demikian, Yang di-Pertuan Agong telah menunjukkan kebijaksanaan dalam meredakan ketegangan kaum dan agama kerana Perlembagaan Persekutuan menjamin untuk melindungi hak semua warganegara Malaysia," katanya.

Yang di-Pertuan Agong telah memberikan perkenannya kepada Thomas yang dinamakan Putrajaya sebagai peguam negara pagi ini.

Perdana menteri lemah

Manakala itu, exco Pemuda Umno, Tun Faisal Ismail Aziz berkata pelantikan Thomas membuktikan DAP mengetuai Pakatan Harapan (HARAPAN) dan bukan BERSATU.

"Kita juga telah mengingatkan bahawa dalam kerajaan Pakatan sebenarnya bukan BERSATU yang menjadi parti yang dominan, sebaliknya DAP akan jadi paling berkuasa melalui kerusi yang dimenanginya dan oleh proksinya.

"Hari ini terbukti bahawa Perdana Menteri hanyalah Perdana Menteri yang lemah dan didukung oleh hanya 13 kerusi BERSATU sedangkan DAP dan proksinya memiliki jauh lebih banyak sokongan di parlimen dan di negeri-negeri," tulis hantarannya di Facebook hari ini.

Beliau percaya pelantikan Thomas menimbulkan beberapa persoalan dan mencetuskan kebimbangan di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

"Lebih membimbangkan apabila perkenan ini diberi sebelum Majlis Raja-Raja sempat untuk bermesyuarat bagi membincangkan soal perlantikan Peguam Negara.

"Ia menimbulkan persoalan, apakah yang telah berlaku di sebalik tabir sehingga mendorong pemberian perkenan ini?" tulisnya.

Dakwaan kebimbangan Melayu, Islam

Beliau mendakwa orang Melayu dan umat Islam bimbang pelantikan Thomas akan mengancam kedudukan mereka yang dilindungi di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan kerana terdapat suara "sosialis, liberal dan sekular" yang mula mempersoalkan keistimewaan orang Melayu.

"Pelantikan Thomas dilihat sebagai langkah pertama kerajaan Pakatan merealisasikan desakan-desakan golongan ini," katanya.

Beliau berkata pelantikan Thomas kemungkinan akan menyebabkan perubahan penafsiran undang-undang mengenai kedudukan Islam.

Memandangkan ini, Tun Faisal berkata PAS kini boleh melupakan rancangan untuk melaksanakan undang-undang hudud dan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

"Walaupun Pakatan menyebut bahawa kedudukan Islam dan orang Melayu/Bumiputera tetap akan diutamakan dan dijaga, 'track record' Pakatan dalam menunaikan janji amat teruk sekali.

"Sebelum PRU14, kita telah mengingatkan bahawa janji Pakatan boleh mengakibatkan defisit dan risiko ekonomi kepada negara. Malangnya pengundi Pakatan tidak percaya.

"Hari ini terbukti Pakatan tidak mampu melaksanakan janji-janji mereka malah lebih teruk lagi kenyataan dan tindakan mereka semakin merosakkan ekonomi negara.

"Adakah ini yang diinginkan oleh umat Islam dan orang Melayu yang mengundi Pakatan? Atau adakah umat Islam dan orang Melayu merasa tertipu dengan janji-janji dan jaminan yang ditaburkan oleh Pakatan semasa mereka merayu undi? Soal Faisal yang dikenali aktif dalam Unit Media Baru Umno.

Lihat Komen
ADS